There was an error in this gadget

18.12.12

Melengkapi


Ketika hidup aku menuju kelam
Kau hadir membawa sinar
Sinar yang datang dari tulus kudus hati
Menerangi jalan yang sebelum itu hanyalah lorong-lorong busuk

Kau temani aku
Kita harung bersama busuk-busuk itu
Kita redah lopak sengketa
Kita tempuh ranjau nestapa

Maafkan aku jika aku pernah menjerit
Maafkan aku jika aku pernah mengherdik
Maafkan aku jika aku pernah berpaling
Itu khilafku
Kerna membaca hatimu begitu sukar
Sedang kau dalam diam menerobos seluruh pelusuk hatiku

Dalam pincang aku bertatih
Dalam tempang aku berlari
Kau menjadi kaki kiri kepada kananku
Kau menjadi tangan kanan kepada kiriku
Berdetik dalam hela nafasku
Berdenyut dalam setiap getar nadiku
Melengkapi

Dalam aku menulis yang ini
Muncul satu layar hologram maya dihadapanku
Menayangkan detik kau menyokong aku ketika jatuh
Menayangkan sedutan kisah suka duka yang kita lalui bersama
Menayangkan keperihan kau melahirkan zuriat pewaris kita
Buat fikiranku menerawang bebas di angkasa raya
Memikirkan betapa siapalah aku tanpa kau

Tiga tahun
Kau menjadi yang halal bagiku
Akan ku jaga cinta ini agar menjadi abadi

To my lovely beautiful lady
HAPPY ANNIVESARY
Hope we will always be together
Sampai mati

11.12.12

[cerpen] PUTIH-KELABU-HITAM


      Pandangan  Derus semakin kabur. Seluruh dunia seakan berputar-putar. Darah membuak-buak keluar dari dadanya yang baru lepas ditikam oleh orang yang tidak dikenali.

     “A..apesal kk..kau nak bu..bunuh aku ha?” suara Derus tersekat-sekat.

     “Aku di upah untuk membunuh kau. Kau telah merosakkan segala rancangan Dato’ Ramli dalam proses tender balak tempoh hari. Kau tahu kan, Dato’ Ramli baru hilang peluang untuk dapat untung RM 3 juta dari kontraktor tu bila kontraknya terlepas ke tangan orang lain? Semua angkara kau. Hari ini kau terima padahnya.”

     “Apa kau m..merepek ni setan? Tender apa ni?”

     “Kau jangan nak berdalih Tahir. Kami tahu gerak geri kau. Hari ini aku sendiri akan hantar kau ke syurga. Ha ha ha ha”

     “Tahir? Aku Derus la sial. Ni sebelah aku ni Tahir!”

     Serentak dengan itu Tahir yang dari tadi pucat mukanya terus menghilangkan diri. Pangangan Derus kian kelam.

     Putih-kelabu-putih-kelabu-hitam.


10.12.12

[cerpen] KELIRU



            Ini sangat sukar. Tiada yang mampu aku lakukan untuk bendung rasa ini. Rasa yang lahirnya secara semula jadi. Aku tak paksa. Dan aku juga rasa ia tak salah. Antara mereka masih belum punya apa-apa. Hanya ikatan yang tidak jelas warnanya yang lahir dari perjanjian lisan masing-masing di zaman sekolah dahulu. Dan aku hadir saat hubungan mereka ini sedang bergolak.

            “Tapi mereka sudah lama bersama, Lynn”

       “Aku tak rasa itu merupakan alasan terbaik untuk aku angkat kaki. Durasi sesuatu perhubungan itu tak menjanjikan apa-apa”

            “Tapi kau akan dianggap sebagai perampas”

           “Tapi Nadim juga rasa apa yang aku rasa. Aku tidak menggoda dia. Aku cuma suka dia. Dan aku pasti, dia juga suka aku”

            “Tapi dia dah ada Salima. Kekasihnya dari zaman sekolah lagi”

            “Itu bukan masalah aku. Ya, mungkin buat masa sekarang..”

            Aku keliru. Karisma, teman rapatku juga bantah hubungan ini. Tapi rasa dalam hati ini tiada siapa yang dapat halang. Nadim juga begitu. Malah dia lebih keliru daripada aku. Keliru kerana hatinya kini terbahagi tiga. Satu untuk Salima, satu untuk aku dan satu lagi untuk dirinya sendiri.

            Pernah Nadim meluahkan pada aku yang hatinya pada Salima hanya tinggal secebis sedangkan ia berbunga indah pada aku. Tapi demi menjaga hati Salima dan keluarganya, dia belum mampu untuk memutuskan hubungan mereka. Aku pasrah.

            Ini cinta pertama aku. Aku sukar untuk jatuh cinta. Karisma kata aku keras hati. Tapi dengan Nadim hati aku seperti ais yang dijemur di padang konkrit di bawah terik matahari. Cair. Dia juga begitu. Kali pertama terserempak, kami berdua terpaku hampir setengah minit. Mungkin akibat pandangan terus ke dalam matanya yang redup itu membuatkan hati aku bergoncang kuat seperti gempa bumi berukuran 7.8 dalam skala richter.

            Sejak itu kami terus berhubungan. Kebetulan Nadim dan Salima sedang menghadapi satu krisis yang agak tegang setegang keadaan di tebing barat ketika itu. Kehadiran aku dalam hidupnya sedikit sebanyak membantu menguruskan keadaannya yang sedang kusut. Keadaan Salima aku tak tahu la pula. Biarlah bukan masalah aku.

            Kami menjalani hidup seperti pasangan bercinta yang lain. Kami bahagia. Kami ada lagu cinta kami sendiri. Kami ada tarikh-tarikh penting yang akan di sambut bersama. Kami pergi bercuti bersama, makan bersama, (tidur bersama belum pernah lagi) seperti juga pasangan-pasangan lain. Sehingga aku rasa Nadimlah masa depan aku. Nadimlah kunci kebahagiaan aku. Dan kadang-kadang aku sendiri terlebih ke depan bila membayangkan bahawa Nadimlah bapa kepada anak-anak aku.

            Tapi bila aku tanya tentang masa depan hubungan kami, Nadim seakan mengelak. Katanya biar dia uruskan bahagian Salima dahulu. Setiap kali aku tanya, setiap kali itu jugalah dia sebut nama Salima. Sehingga aku rasa apa yang Karisma katakan dahulu ada juga betulnya. Masa depan hubungan ini tidak jelas warnanya. Kelabu. Sebelum keadaan jadi lebih parah, aku rasa mungkin ini masa yang paling tepat untuk aku angkat kaki.  

          “Nadim, aku perlu undur diri. Aku tidak mahu dianggap punca kamu dan Salima berpisah. Biarlah aku yang rasa pedihnya asal kamu bahagia”

            “Lynn, aku serba salah. Aku sayang kamu. Aku juga sayang dia..”

            “Cukup Nadim. Aku pergi dulu. Terima kasih kerana beri aku merasa nikmat cinta walau cuma seketika. Bersama dengan kamu bagai berada di dalam mimpi yang paling sempurna. Tapi aku sedar ini cuma sementara. Tiada bertahan lama. Jadi biarlah aku terseksa asal orang yang aku sayang merasai nikmat bahagia. Aku pergi dulu”

                                                          +++

            “Lynn, aku ada something nak bagi kat kau. Aku harap kau bersedia”

            “Apa dia Karisma? Kau jangan buat aku gabra”

Karisma hulur sekeping kad walimatul urus rona merah jambu kepada aku. Aku seakan hanyut dalam arus kenangan cinta kami bila terbaca nama Nadim dan Salima di kad itu. Baru dua minggu kami berpisah secara rasmi.

            Jadi aku faham sekarang. Mahu urus bahagian Salima itu sebenarnya mahu menguruskan hal perkahwinan mereka. Aku hanya jadi badut yang kerjanya menghiburkan hati orang yang sedang berduka. Sedang si badut hatinya tiada siapa peduli.

            “Sabarlah Lynn. Mungkin pengorbanan kau kali ini membawa hikmah yang besar hari esok. Cuba kau bayangkan dia lepaskan Salima untuk bersama kau, tak mustahil dia akan lepaskan kau untuk bersama orang lain satu hari nanti” Karisma cuba menenangkan aku. Aku redha.

                                                          +++

            Setelah dua tahun, aku kini menjadi normal kembali. Cik Lynn yang keras hati. Aku tidak mampu untuk menerima mana-mana cinta lelaki. Hinggakan hadir dalam hidup aku seorang lelaki yang berjaya melembutkan semula hati ini. Kenangan cinta bersama Nadim kini kembali bersarang bila aku tahu lelaki ini juga milik orang. Aku benci rasa ini. Keliru. 

6.12.12

[cerpen] PERGI


“Along naik dengan ayah la. Biar Angah drive dengan diorang semua. Pompuan-pompuan senang sikit nak gossip”

“Kamu boleh ke Ngah? Jauh ni”

“Kami follow belakang ayah la. Tapi kalau ayah lambat, kami pergi dulu”

 Minggu pertama cuti sekolah memang kurang orang balik kampung. Lagipun tengah bulan. Ayah ajak balik kampung sebab nenek sakit. Aku satu kereta dengan ayah, ibu dan adik. Angah pandu kereta lagi satu dengan adik-adik perempuan yang lain.

“Kamu jaga jarak ye Ngah. Jangan terlalu rapat. Jangan pula terlalu jauh”

“Angah tahu la ayah. Jangan la risau. Jom kita gerak”

Hati aku rasa tidak tenteram. Aku tahu ayah juga begitu. Sepanjang perjalanan ayah asyik menjengah cermin pandang belakang.

“Ayah, adik nak kencing. Tak tahan ni”

“Ok kejap. Ayah call Angah”

Ayah memecut sedikit meninggalkan kereta Angah di belakang. Katanya jumpa di RnR yang paling hampir.

“Dah setengah jam yah. Mana Angah tak sampai-sampai lagi ni?” ibu nampak sedikit runsing.

“Itulah. Ayah call semua tak berjawab”

Tiba-tiba sebuah kereta berhenti berhampiran kereta kami. Si penumpang keluar dengan tergesa-gesa dan muntah di tepi pintu.

“Apa hal ni encik? Isteri awak tak apa-apa ke?” ayah menegur.

“Dia mual tiba-tiba selepas lalu tempat berlaku kemalangan tu tadi. Mayat bertaburan atas jalanraya. Semua perempuan. Malah ada yang hancur badannya. Ish saya pun tak sanggup tengok”

Aku lihat ayah terduduk. Muka ayah pucat. Aku teringat Angah ada cakap tadi, “Kalau ayah lambat, kami pergi dulu”. Sekarang mereka benar-benar pergi.

28.11.12

DUNIA GELAP


Peluknya tiada kejap
Dengusnya tiada ghairah
Hayunan lesu tiada bernyawa
Hanya melepas tanggungjawab bersama

Kelmarin,
Hadirnya si ketiga membawa berita. Membawa cerita berbeza. Lorong yang malap kini lebih ceria. Kembali mekar kuntum-kuntum berbunga.
Kelmarin,
Tanah segar bagai baru digembur dibaja rapi setiap hari. Membaja bagai memberi nyawa baru. Nafas kembali segar. Malah dengusnya lebih ghairah dari yang biasa. Tuturnya nakal menjentik hati si ketiga.
Kelmarin,
Si ketiga menyusun kata. Mahu merampas takhta. Mahu jadi setaraf si pertama. Sedang tahu si pertama masih menjadi penunggu setia. Namun si ketiga jalannya sedia ada.
Kelmairn,
Usai sesi membaja. Si ketiga melakar senyum durjana. Katanya rakaman klipnya sudah merata. Barangkali sudah sampai kepada si pertama.

Hari ini,
Segala isi dunia bagai berlaga sesama sendiri. Si dia tiada tempat bersembunyi. Si pertama membongkar segala sendiri. Dalam membusung zuriat terkasih, si dia menabur benih ke laman terpilih.
Hari ini,  
Si pertama menangis tiada henti. Si dia yang dikasihi kini tiada lagi. Bukan si ketiga tidak boleh bermadu. Tetapi tidak sanggup menanggung malu. Si dia yang di kasihi, kini beramal songsang dengan teman pengganti.

Sekarang,   
Hidup si dia semakin kusut. Walau nampak mengikut turut. Di dalam hatinya sudah tiada taman yang berbunga indah. Sebaliknya beraja kesumat dendam durja dan amarah.
Sekarang,
Si ketiga sudah jemu. Lari mencari lelaki baru.


#Nauzubillahi Minzalik.

22.11.12

[cerpen] GALI


“Kau yakin ke Tajul?”

“Ini saja caranya. Aku tak nampak jalan lain dah”

“Tapi ini kerja gila Tajul. Kerja gila!”

“Kalau kau takut kau boleh berambus. Biar aku gali sorang-sorang”

“Tapi Tajul, kau kawan aku. Aku tak rasa benda yang kau nak buat ni betul”

“Kau boleh tak jangan jadi penakut sangat. Suri dah mati. Dia takkan bangun cekik leher kau la sial. Lagipun takkan ada orang tahu kalau kau tak bukak mulut.”

Cinta Tajul pada Suri sangat dalam tetapi ditentang hebat keluarga Suri. Bagi Tajul, ini sahaja caranya unuk dia bersama Suri selama yang dia mahu.   

Suri baru sahaja dikebumikan petang tadi. Dia mati bunuh diri. Suri tidak tahan tekanan dari keluarganya yang mendesak supaya berkahwin dengan Dol Basir anak orang kaya Kadir sedangkan cintanya pada Tajul cukup dalam. Malah maut juga tidak mampu memisahkan mereka.

“Kau nampak mayat Suri kat dalam tu Saad? Aku cuma mahu bersama dengan Suri sepanjang hayat aku. Kami dah berjanji untuk sehidup semati. Sekarang dia dah mati. Sekejap lagi malaikat akan datang menyiksa dia. Aku akan melindungi Suri” mengalir air mata Tajul ketika berpelukan dengan Saad.

“Tapi Tajul…” nafasnya tersekat. Dia tidak mampu untuk meneruskannya.

“Takpe Saad. Kau jangan risaukan aku. Sekarang aku masuk. Kau ambil cangkul ni dan tanam kami. Aku dah janji dengan Suri, hidup mati, kami tetap akan bersama.” 

20.11.12

sinisduabelas 11 : berita

Mereka menggadai darah dan nyawa. Kita masih tonton berita, masih sebar cerita.

Abah..Pulanglah


Abah kata tenang
Tapi aku rasa kota ini sedang tegang

Abah kata mereka sedang merayakan sesuatu
Tapi aku rasa itu bunyi bedilan di balik pintu

Abah kata jangan keluar rumah
Tapi abah pergi tinggal Ana, tinggal ibu

Abah kata abah kejar syahid
Tapi abah belum pulang

Siapa syahid?
Kenapa abah kejar syahid?
Abah..ibu belum makan
Ana mahu susu

Semalam kawan abah datang jumpa ibu
Katanya abah sudah jumpa syahid

Abah pulanglah
Ana mahu susu.


*cubaan untuk turut serta terlibat dalam terbitan #ZineUntukGaza

14.11.12

[cerpen] LEBUH RAYA



“Ni kalau takde eksiden mesti ade roadblock. Kecoh betul depa ni tengah-tengah malam buat roadblock. Sial!” bentak Joshua dengan nada geram sambil menghentak sterengnya.

Marah Joshua siang tadi pada majikannya bertambah dua kali ganda malam ini dengan keadaan jalanraya yang sesak begini. Bosnya, Encik Amirul Adzman Solahuddin Al-Ayubi Bin Jusoh memintanya hadir ke mesyuarat tapak di Kota Tinggi esok pagi.

“Si bos ni pun satu, Bagitau la awal-awal. Dah lewat petang baru inform. Sudahnya aku yang kelam kabut. Celaka” Joshua bermonolog seorang diri.

Jalan masih sesak. Bergerak seperti siput babi pulang petang. Baru masuk Melaka. Jam sudah tegak 12 tengah malam. Mata semakin mengantuk. Memandu seorang diri tengah-tengah malam macam ni memang mencabar. Dia digoda kantuk. Dibuai letih. Dihimpit antara tanggungjawab dan bayangan bantal kekabu empuk.  

“Ini kalau aku terus ikut highway ni, lusa pun belum tentu sampai Kota Tinggi. Baik aku ikut jalan dalam

Joshua kilas sterengnya ke susur keluar Pedas-Linggi yang kebetulan berada kurang 20 meter dihadapannya. Biarpun dia langsung tidak tahu selok belok jalan dalam dari Melaka ke Kota Tinggi, tapi dia percaya dengan GPS yang tersergam atas di dashboardnya mampu membawanya ke sana dengan selamat, cepat dan betul. Amboi macam slogan polis pulak.

“Aku ada GPS apa nak takut. Lagipun signboard banyak. Pusing-pusing pun kat sini jugak. Takkan sesat sampai ke Kelantan kot” Joshua tergelak kecil dengan lawaknya yang tak berapa kelakar itu.

Selepas membayar tol, Joshua meneruskan perjalanan dengan membelok ke kanan di simpang tiga berlampu isyarat itu. Suasana di jalan ini lain benar dengan di lebuhraya tadi. Hiruk pikuk pemandu menekan hon, memaki hamun dan menyumpah seranah yang dilihatnya sepanjang memandu di lebuhraya tadi tiada di sini. Jalan dalam lebih aman damai tanpa kenderaan yang banyak. Malah malam ini bilangan kenderaan di atas jalan raya boleh dikira dengan jari.

“Agaknya sebab dah pukul 12 kot. Lagipun esok hari bekerja. Siapa pulak nak ronda-ronda tengah-tengah malam macam ni. Aku ni lain la, itupun nasib baik bos bagi advance RM300 dan kereta pejabat. Kalau tak jangan harap aku nak pergi” Joshua seperti berborak dengan diri sendiri bagi menghilangkan sunyi.

Tiba di satu persimpangan, GPSnya bersuara lantang.

“IN 100 METER, TURN LEFT”

“Pundek punya GPS. terkejut aku” Joshua yang sedang mengelamun melayan dingin malam tersentak dengan suara wanita dalam alat GPSnya yang ala-ala Lady Gaga itu.

Setelah memberi isyarat, Joshua membelok ke simpang yang di minta oleh GPSnya tadi. Tidak sampai 1km, suasana seakan berubah. Bermula dengan lampu jalan yang tiba-tiba ada (selepas keluar dari highway tadi memang tiada lampu jalan langsung) dan kenderaan yang semakin banyak. Rumah-rumah di kiri kanan jalan terang benderang seperti mahu menyambut hari raya lagak gayanya. Dalam kehairanan yang amat sangat, terpalit juga sedikit perasaan lega.

“Nasib baik ada orang kat kampung ni. Senang aku nak mintak tolong kalau ada apa-apa”

Bagaikan masin mulutnya, tayar belakang kiri kereta Toyota Hiluxnya itu tiba-tiba meletup. Joshua sedaya upaya mengawal sterengnya agar tidak terbabas ke longkang besar di tepi jalan. Akhirnya dia dapat berhenti dengan selamat di bahu jalan.

“Ahh cilaka. Menyesal aku sebut tadi. Dah la kereta ni takde tools nak bukak tayar. Babi. Babi. Cibai”

Joshua memaki-hamun kereta syarikatnya dengan penuh sesal. Sesal kerana mulutnya yang celupar itu, dia tersadai di tepi jalan kini. Mujur ada kampung. Setelah meninjau-ninjau keadaan sekeliling, Joshua ternampak sebuah kedai kopi lebih kurang sepelaung jauhnya.

“Cik, boleh tumpang tanya. Tayar kereta saya meletup kat sana. Kalau boleh saya nak mintak tolong sesiapa. Kot-kot ada tools ke, jack kereta ke untuk bukak tayar tu. Kereta bos saya tu langsung takde apa” Joshua menegur seorang wanita yang sedang duduk membelakanginya.

Hanya perempuan itu yang ada di kedai itu ketika itu. Sebaik berpaling, Joshua bagaikan terpana dengan keanggunan dan kejelitaan wanita berambut panjang lurus separas pinggang itu. Wajahnya bagaikan bercahaya dan berseri-seri bagai bidadari yang turun dari kayangan. Tubuhnya langsing tinggi persis ratu kebaya tahun 80-an. Daging separa sferanya ditenung Joshua tanpa berkelip. Pejal.   

“Suami saya ada kat rumah. Tak jauh dari sini. Abang ikut saya” kata wanita itu dengan suara yang lemak berkrim disukai Joshua. Jari telunjuknya menguit-nguit menarik Joshua membuntuti wanita itu secara rapat.

“Abang duduk dulu, saya panggil suami saya. Ada di dalam bilik agaknya”

Joshua kehairanan. Tengah-tengah malam isteri pergi minum di kedai kopi, suami tidur di rumah. Pelik.

Rumah wanita ini besar dan tinggi. Hanya satu tingkat tapi silingnya tinggi. Seluruh rumah ini dicat dengan warna putih. Tiada gambar keluarga atau gambar pemandangan digantung di dinding. Tiada jam, tiada televisyen. Yang ada hanya sofa dan meja kopi yang besar. Sofanya juga besar. 12 tempat duduk mengelilingi ruang tamunya. Segala-galanya berwarna putih.

“Pelik betul. Sudahlah besar, wanginya lain macam”

            “Abang, tolong bang. Suami saya tak sedarkan diri. Dia tak bernafas” kedengaran suara cemas wanita itu dari dalam bilik.

            Joshua segera mendapatkan wanita itu. Namun, tiada langsung kelibat “suami” yang disebut-sebutkannya. Tetapi satu pandangan yang lebih menarik yang langsung tidak diduga Joshua kini betul-betul di hadapannya. Di penjuru bilik, kelihatan wanita itu berdiri dengan tubuh yang putih gebu tanpa dibalut waima sehelai benang. Bagaikan mahu terkeluar biji mata Joshua melihat daging-daging segar dan segitiga illuminati yang menghayalkan itu.

            “Abang marilah sini. Saya sunyi.” wanita itu merengek minta dibelai.

            Joshua seperti disampuk hantu. Dengan mulut terlopong dan air liur meleleh, Joshua melangkah menghampiri wanita itu. Baru sahaja ingin menyentuh, kedua-dua daging segar itu mengeluarkan cahaya yang menyilaukan. Terlalu terang sehingga menyakitkan mata. Cahayanya bergerak-gerak ke kiri dan kanan. Serentak dengan itu juga, kedengaran pintu rumah wanita itu di ketuk berkali-kali dengan kuat. Joshua terkesima.

+++

            TOK. TOK. TOK. TOK. TOK.

            “Hah hidup lagi rupanya. Ingatkan dah mampos. Bangun la hoi apahal kau tidur dalam kereta tengah-tengah jalan ni. Bukak tingkap ni!”

            Kelihatan lebih kurang 20 orang termasuk tiga anggota polis trafik mengerumuni keretanya. Masing-masing dengan lampu picit di tangan. Joshua masih lagi di atas lebuh raya. Tiada kenderaan di hadapannya tetapi di belakang bagaikan pesta. Joshua tertidur di dalam kereta semasa jalan jem tadi.

            Dia masih di situ. Susur keluar Pedas-Linggi kurang 20 meter di hadapannya. Dan seluarnya basah melekit.

            “Celaka!”


           



9.11.12

[cerpen] tempang



Malam itu agak bahang baginya. Rasa seperti ada matahari dalam dorm itu. Naufal gelisah. Badannya sudah berpeluh-peluh. 

“Apa budak-budak ni tak rasa panas ke? Pelik betul. Kipas punyalah laju. Budak lain berselubung selimut tidur bukan main nyenyak tapi aku berpeluh-peluh apehal ni” Naufal bermonolog sendirian.

Rakan satu dorm yang lain lena dibuai mimpi. Tapi Naufal makin gelisah. Bajunya ditanggalkan. Hanya tinggal boxer sahaja. Dia cuba memaksa matanya untuk lelap. Gagal.

“Tak boleh jadi ni. Tidur bawah la. Mampus la warden nak marah pun. Bukan dia tahu aku kepanasan ni”

Tilam ditarik turun ke lantai. Betul-betul di bawah kipas yang laju berpusing. Harapnya dia akan dapat tidur lena malam itu. Bantal disusun ke posisi yang betul. Selimut sudah siap sedia di sisi. Mana tahu tiba-tiba dia kesejukan nanti. Mata di pejam.

“Bismillah”

GEDEGANG!

Naufal tersentak. Satu bunyi hentakan yang kuat ke lantai didengari dari hujung koridor disusuli dengan bunyi aneh seakan-akan orang berjalan sambil menyeret kaki. Malam yang sunyi tanpa unggas dan cengkerik memang membantu bunyi yang sayup-sayup menjadi lebih kuat dan menggerunkan di telinga Naufal. Dadanya bergoncang. Nafasnya hampir tersekat.

“Ah..celaka betul. Siapa pulak berjalan-jalan kat koridor pagi-pagi buta macam ni” Naufal ketakutan.

Tiada seorang pun rakan-rakannya yang terjaga dek bunyi hentakan itu tadi. Semua nampak lena dan tenang. Sesekali bunyi dengkuran kedengaran. Tapi bunyi yang mengganggunya kali ini memang menakutkan.  Bunyi seretan tapak kaki itu semakin lama semakin hampir. Semakin lama semakin kuat. Semakin jelas.

Selimut ditarik menutupi seluruh badan dan mukanya. Panas tadi kini bertukar dingin. Dingin dan berpeluh. Bunyi itu berhenti betul-betul di hadapan pintu dormnya. Naufal menggigil seram sejuk. Cuba membaca segala ayat Al-Quran yang terlintas di kepalanya ketika itu walau dia tahu bacaannya tunggang langgang.

Tiba-tiba Naufal berasa sedikit bahang di bahagian atas kepalanya disusuli bunyi dengusan nafas yang kasar. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Bunyi nafas itu semakin dekat di telinganya.

“HOI BANGUN SUBUH HOI. APESAL KAU TIDUR BAWAH NI”

Cikgu Arshad, warden yang tempang itu datang mengejutkan pelajar untuk sembahyang subuh. Celaka. 

5.10.12

[cerpen] Puaka Kucing Hitam


3.30 am

“Celaka betul dia jadi lagi. Aku nak tidur la woi jangan ganggu aku”

Lan Tapai bangkit bungkam. Tidurnya diganggu dek alarm yang berbunyi sendiri pukul 3.30 pagi. Lan Tapai adalah jenis yang susah nak tidur tetapi bila sudah tidur, susah pula nak bangun. Bila sudah tidur dan terbangun tengah malam, memang tak akan tidur la jawabnya. Memandangkan satu show cause letter dan satu warning letter dari HR sudah diterimanya dalam bulan ini akibat kerap lambat masuk kerja, Lan Tapai sedar sesuatu harus dilakukan.  Alarm di telefon bimbitnya disetkan ke volume yang paling tinggi dan diletakkan paling dekat dengan telinganya. Mujur tidurnya tidak lasak. Tidur mati mana ada lasak. Macam orang mati.

Tapi akhir-akhir ini alarmnya kerap berbunyi sendiri. Dan setiap kali berbunyi sendiri, ia mesti pukul 3.30 pagi. Lan Tapai adalah satu jenis manusia yang tidak percaya benda karut marut, tahyul dan hantu. Sebab tu dia berani tinggal berseorangan di rumah flat yang kurang komuniti penduduknya di sebuah daerah di pinggir ibu kota. Dia adalah penggemar sunyi dan pembenci manusia drama. Bukan penggiat drama, tetapi manusia yang gemar berdrama tanpa lensa.

“Celaka balik-balik siaran ulangan. Membazir aku bayar tiap-tiap bulan. Hari-hari tengok cerita yang sama”

Tiada yang lain yang boleh dilakukan selain menonton tv jika terjaga pukul 3.30 pagi begini. Tapi siaran ulangan yang di tonton Lan Tapai di saluran astro sekarang ini sudah lebih enam kali ditonton. Mual.

DVD Final Destination 5 cetak rompak dikeluarkan dari sarung plastiknya. TV di alih ke mode AV dan butang play di pemain cakera video digital Pensonic buatan Guangzhou ditekan.

Belum sampai sepuluh minit cerita berlangsung, perutnya bergelojak. Bahana membaham Meggi Tomyam dua paket sebelum tidur. Bukan cheapskate, tapi Lan Tapai jenis yang malas bersusah payah untuk sesuatu yang dinamakan makanan. Baginya, apa saja yang ada boleh ditelan asalkan tidak memudaratkan boleh dijadikan alas perut. Dia bukan rajin sangat nak ke mapley yang jauhnya berbatu tapi hanya sekadar memesan roti kosong dan teh tarik. Rugi masa dan tenaga katanya.

“Meggi ni dah expired ke apa. Celaka betul. Tak pasal-pasal nak terberak pagi-pagi buta macam ni”

Pause.

++

Tanggal seluar sarung tuala. Pintu tandas dikuak hingga terpelahang buka. Tuala ditanggalkan dan mangkuk tandas putih berseri ditenung sebaik saja pintu tandas ditutup.

“Apalah nasib aku wahai mangkuk. Pagi-pagi buta sejuk macam ni kena bercinta dengan kau pulak. Perut ni pun satu hal. Bukan reti nak tunggu siang sikit”

Itulah rutin Lan Tapai. Bermonolog sendirian ditemani perabut dan pinggan mangkuk yang tak berapa nak ada di rumahnya. Itu pun peninggalan tuan rumah yang disewanya. Apa yang benar-benar milik mutlak Lan Tapai hanyalah sekeping tilam bujang dan bantal kekabu zaman perang Jepun turun temurun dari datuknya. Dia selesa begitu.

Lan Tapai pernah duduk dengan teman-teman kolejnya dahulu. Zaman kolej mana ada duit sendiri nak duduk sorang. Terpaksa berkongsi dengan kawan-kawan yang karenahnya pelbagai. Macam-macam jenis manusia yang tinggal bersamanya membuatkan dia rimas. Walau hanya lima orang satu rumah, perangai masing-masing sudah cukup membuatkan Lan Tapai serik untuk tinggal di rumah bujang lagi.

Si Syazwan budak JB dengan video gamenya. Tiada apa yang dia tak tahu pasal dunia game. Tapi dunia dia hanyalah didalam video game.

Faithullah. Nama macam ustaz. Perangai macam parewa iblis durjana. Sebut saja perempuan mana yang tak pernah jadi mangsanya. Dengan pakej susunan ayat manis dan muka iras-iras Azwan Haji Ali, Faitul akan mengayat setiap awek-awek freshie yang dirasakan boleh dibawa ke tengah untuk menjadi teman sepertidurannya. Sama ada awek tu akan ke tengah atau dia di tengah-tengah belum dapat dipastikan.

Bard Kapal si kacukan cina muslim dengan dunia muziknya hitamnya. 24/7 dengan lagu metalcore diulang-ulang di corong radio buruknya. Walaupun buruk tetapi mampu memainkan cd cetak rompak dengan baik tanpa sangkut-sangkut. Antara lagu yang...

GEDEGANG!!

Lamunan Lan Tapai terhenti. Tahinya juga terputus di pertengahan. Pagi ini proses ulangan ekosistem normal Lan Tapai terganggu. Satu bunyi dentuman yang separa kuat kedengaran dari ruang tamu. Pelik. Dia tinggal bersendirian. Tidak membela kucing mahupun mentibang hutan. Kalau ada pun hanya sekawan nyamuk yang gemar membuat onar ketika dia sedang tidur. Tapi dia pasti nyamuk tidak mampu membuat bising seperti itu.

Flush.

++

Lan Tapai keluar dari kubikal empat segi itu bagi memeriksa pelusuk rumahnya. Mencari punca bagi bunyi yang mengganggu penyampaian hajatnya sebentar tadi. Tapi tiada apa yang pelik. Cuma bunyi deruman kapal terbang dari filem Final Destination 5 dari kaca tv nya yang bersaiz 21 inci setengah made in Bertam itu yang sedang galak berkumandang. Sudah masuk ke pertengahan cerita rupanya. Banyak babak yang sudah dia ketinggalan.

“Eh, bukan aku dah pause ke tadi? Dah sampai separuh cerita pulak tu. Berapa lama aku berak tadi? Ish pelik betul”

Dalam pada dia berfikir mengenai siapa yang menekan butang play ketika dia melabur dalam bank simpanan nasional sebentar tadi, kedengaran bunyi kucing mengiau di luar pintu rumahnya. Lan Tapai kerling ke arah jam di dinding.

“Ah, baru 3.40 pagi. Ni kucing mana pulak sesat ni? Kang berak atas kasut aku tak pasal-pasal aku pakai terompah pergi kerja. Eh kejap. 3.40 pagi? Bukan ke…arghhh pening kepala aku”

Sambil berjalan menuju ke muka pintu Lan Tapai menggaru-garu dahi jendulnya yang bertambah jendul sejak akhir-akhir ini akibat tidurnya yang selalu terganggu. Banyak benda menggangu fikirannya ketika ini. Dia kini berhadapan dengan pintu rumahnya. Dengan sekali tombol dipulas, pintu kayu yang sudah lapuk itu terpelahang buka. Bunyi keriuk engsel besi bergesel dengan karat yang berceratuk mengilukan Lan Tapai. Bulu tengkuk meremang.

Sebaik pintu dibuka, terlihat akan Lan Tapai seekor kucing dewasa yang belum dapat dipastikan jantinanya duduk dimuka pintu menghadapnya. Seluruh badan kucing itu berwarna hitam tanpa dicemari waima secalit warna lain. Mungkin menggunakan syampu bawang. Matanya bundar bak gadis Korea yang palsu berwarna merah terang memandang tepat kearah anak mata Lan Tapai.

Lan Tapai memang suka akan kucing. Di kampungnya dahulu kucing jugalah yang menjadi penemannya meronda kampung diwaktu petang. Kucingnya bernama Tom. Tetapi bukan Tom yang boleh mengajuk cakap orang didalam Ipad tu. Nama penuhnya Tomboi. Melihat kucing hitam ini teringat dia akan Tom yang sudah mati digilis lori ikan di halaman rumah suatu ketika dahulu. Dendamnya pada Shamuganathan penjual ikan dari rumah ke rumah itu belum terbalas. Sampai hati dia reverse lori pikapnya tanpa melihat cermin pandang belakang. Dia tak nampak ke Tom tengah mengejar-ngejar lorinya bagi mencilok ikan barang seekor dua untuk dijadikan makan tengahari. Celaka Shamuganathan. RIP Tomboi.

“Hai kucing, mana tuan kau? Kenapa kau datang rumah aku malam-malam ni. Bukan ada kuih raya pun. Air sirap selasih ada la minggu lepas punya. Tu pun aku tapau dari open house officemate aku. Kau nak?”

Sedang dia membongkok untuk mengambil kucing itu, Lan Tapai terlihat kelibat seorang manusia di hujung koridor sedang memerhatikannya. Lan Tapai mengecilkan mata bagi menambah fokus penglihatannya yang kebelakangan ini semakin teruk lebih-lebih lagi diwaktu malam. Kelibat manusia yang sedang berdiri tegak memerhatikannya itu mengenakan busana rona putih menutupi kaki dengan rambut panjang mengurai mencecah pusat. Mukanya tidak kelihatan. Mungkin perempuan. Mungkin juga mat dadah yang kurang duit untuk pergi ke salun. Di zaman yang serba moden ini, jantina seorang manusia tidak boleh ditentukan hanya dengan memandang luaran sahaja.

“Ni makwe mana pulak duk bersidai malam-malam ni. Nak bersidai siang-siang la tengah panas. Baru kering. Ish kena pergi ushar ni. Mungkin memerlukan bantuan”

Tak semena-mena kucing di hadapannya melompat tinggi mencakar pipi kiri Lan Tapai sebelum berlari laju menuju ke arah tangga.

“Lahanat punya kucing. Orang nak bagi minum dia cakar pulak. Aku goreng buat lauk baru padan muka. Eh, mana makwe tadi. Sekejap betul dia hilang. Terjun bunuh diri ke apa?”

Lan Tapai mengambil keputusan untuk tidak meneruskan niat untuk mengushar makwe itu bagi mengelakkan fitnah. Kalau betul dia bunuh diri, Lan Tapai tidak mahu disabitkan sebagai saksi. Tunggu pagi nanti mesti ada yang jumpa mayatnya. Dia masuk semula ke dalam rumah sambil mengusap pipinya yang luka.

Sebaik menutup pintu, Lan Tapai terkejut yang bukan kepalang bila dia terlihat kucing yang mencakarnya tadi sedang berlegar-legar di ruang tamu sambil memandangnya. Jangtungnya berdegup kencang. Adrenalinnya mencanak-canak naik. Nafasnya mencungap. Peluh jantan merecik didahi jendulnya.

“Binatang punya kucing. Tadi lari ke tangga. Ni boleh pulak ada dalam rumah aku. Bila masa kau masuk? Kau ni kucing ke apa hah?”

Lutut Lan Tapai menggeletar ketakutan. Tidak pernah dia merasa takut begini. Peluh dingin merembes di segenap tubuh. Lan Tapai takut untuk melangkah. Kucing hitam itu masih memerhatikannya.

++

Lan Tapai mencapai batang penyapu yang memang disimpan di belakang pintu rumahnya untuk dijadikan alat mempertahankan diri. Mana tahu kucing itu akan bertindak kasar sekali lagi dengannya. Lan Tapai melangkah perlahan-lahan merapati kucing itu. Dia mahu membalas dendam atas apa yang telah diperlakukan.

Sebaik menghayun tinggi batang penyapu itu, kucing tersebut berdiri dengan kaki belakangnya dan perlahan-lahan menjadi tinggi dan tinggi. Wajah kucingnya tidak lagi kelihatan sebaliknya ia itu bertukar menjadi manusia. Ya, inilah manusia di hujung koridor yang dilihatnya tadi.

Lan Tapai jatuh terjelepuk hampir pitam. Tapi dia malu untuk pitam di hadapan perempuan. Ya manusia ini seakan-akan perempuan kerana terdapat buah dada yang membusung. Ah mungkin juga mak nyah yang mempunyai buah dada yang masak ranum dan boleh dimakan. Biasanya terdiri daripada buah epal Washington atau oren Sunkist.

“Hoi kau siapa hah? Apa kau nak? Jangan ganggu aku!” jerit Lan Tapai ketakutan.

“Kau siapa? Apa kau buat dalam rumah aku? Ini rumah aku. Tapi ini bukan tilam dan bantal aku. Busuk betul!” bentak lembaga itu dengan suaranya yang sangat garau dan menakutkan diiringi hilai tawa yang membingit.

Lan Tapai menggigil ketakutan. Dia selalu lihat babak ini dalam filem-filem hantu melayu yang tak berapa nak seram tetapi mendapat sambutan yang baik di pawagam. Tapi ini betul-betul berlaku di hadapannya. Di dalam rumahnya. Dan pelakonnya adalah dia dan hantu yang menakutkan ini.

“Ini rumah aku. Aku bayar sewa. Kau siapa? Kenapa kau ganggu aku?”

Pertanyaan Lan Tapai disambut hilai tawa yang paling nyaring. Beberapa gelas milik tuan rumah di dalam rumahnya pecah berderai akibat ketinggian pitching yang tak tercapai dek akal itu.

 “Aku pemilik rumah ini. Dan aku kembali hari ini untuk menuntut sewa. Eh bukan, untuk menuntut bela. Aku dibunuh oleh penyewa rumahku sendiri 5 tahun lalu. Dia cekik aku ketika aku datang untuk menuntut duit sewa rumah yang tertunggak. Kebetulan masa aku datang tu dia juga sedang melunaskan bil airnya yang tertunggak kepada makwenya. Dia malu sebab terkantoi dengan aku. Sebab tu dia bunuh aku. Aku tak kisah tapi jangan la sorokkan mayat aku dalam almari. Sampai sekarang orang tak jumpa. Aku nak kau keluarkan rangka aku dan dalam almari tu dan hubungi keluarga aku”

Sempat juga Lan Tapai hisap rokok dua batang sementara menuggu hantu itu habis bercerita. Baru kini dia teringat akan almari yang disebutkan oleh hantu itu. Tuan rumahnya pernah berpesan, almari di dalam stor itu jangan diusik. Ada barang peribadi yang akan diambil semula suatu hari nanti. Rupanya ada mayat. Tapi siapa tuan rumah yang sebenarnya?

Baru sahaja Lan Tapai hendak melangkah ke stor, hantu itu mencekik leher Lan Tapai dari belakang. Lan Tapai jatuh terjelepuk.

Pengsan.

++

“Sedar-sedar dah pukul 9.30. Kelam kabut saya mandi dan bersiap datang pejabat.”

“Sudah la Mazlan. Saya dah muak dengan cerita karut marut awak ni. Banyak betul alasan awak kalau datang lambat. Ini bukan kali pertama awak buat cerita merepek macam ni. Awak ingat saya nak percaya?”    

 “Tapi bos, kali ni  betul bos. Ini betul-betul berlaku malam tadi. Saya pengsan sebab tu tak boleh bangun. Saya dah set alarm tapi dia bunyi sendiri pukul 3.30……..”

“Sudah! Awak sain sini. Ini gaji terakhir awak. Saya dah ada pengganti pun untuk jawatan awak tu. Awak boleh berhenti kerja pejabat dan pergi tulis novel fiksyen atau mintak kerja dengan David Teo.”

Lan Tapai melangkah lesu.


TAMMAT.

15.8.12

hari raya piatu

dikala ini
setiap putaran lagu
lunak merdu dendang syahdu
membawa seribu sumpah dihati
menggamit rasa benci

rasa cemburu merusuh
mana satu yang kau panggil keriangan
apa maksudmu dengan kebahagiaan
adakah ini hari yang kau kata kegembiraan

jika benar
bagaimana cara untuk aku nikmati
kebahagiaan itu
keriangan itu
jika tiada siapa disisi
tiada saudara
tiada keluarga
hanya aku sendiri

ini bukan harinya
bukan hari raya
hari rayaku mungkin di syurga

9.8.12

hikmah

tidak tahu caranya
bagaimana mahu dilontarkan
bahasa hati yang penuh gundah
penuh resah susah
perit jerih selama ini
bagai tiada akhirnya

apakah sembahku dipandang sepi
adakah pohonku tidak akan dipenuhi
mungkinkah du'a ku sekadar raungan basi

namun aku percaya
dengan nama takdir
hikmat dan nikmat pasti muncul jua
entahkan bila
tak tahu di mana
adakah masih bernafas
atau sudah reput dipeluk hamis tanah
namun pasti ada titik noktahnya

ramadhan

dimana sahurku
apakah iftarku
hanya reguk liur dengan doa dan niat
niat yang menghubungkan aku begitu dekat dengan sang pencipta

puasaku untukmu
terimalah seadanya
moga siksa azab dunia
mencambah nikmat di syurga

16.7.12

Dugaan

ramai yang berpesan. ini dugaan untuk kau. 
tuhan tak akan berikan dugaan melebihi kemampuan hambanya.
aku pegang kata - kata ni.
sehinggalah aku diuji dengan begitu berat sekali.
sehinggalah aku rasa pesan yang tadi-tadi hanya omong kosong.
aku rasa ini bukan ujian. atau dugaan. atau apa saja kamu - kamu gelarkan.
aku rasa ini adalah balasan tuhan terhadap aku.
terhadap kejahilan aku. kekhilafan aku.
aku yang selalu lupa. selalu abai. selalu lalai.
kerna aku rasa tak tertanggung ujianMu kali ini ya tuhan.
berilah aku kekuatan.


mohon tuhan masih punya ihsan. ampunkan aku ya rabb.
permudahkan segala urusan kami hambamu ini ya rabb.


doa.tawakal

16.2.12

penat

Dua jam untuk perjalanan pergi dan dua jam lagi untuk perjalanan balik bagi aku adalah terlalu jauh dan lama untuk dilakukan setiap hari. Tapi itu yang aku terpaksa buat sekarang ni. Dah setahun lebih pun. 


Mula-mula memang aku rasa kuat. Alah apa la sangat Banting - KL - Banting hari-hari. Ada yang lagi jauh dari aku. Seorang Plantation Advisor baru masuk kerja kat tempat aku, duduk di Karak. Ada seorang lagi duduk kat Seremban. Aku rasa lagi jauh kot. Tapi sekarang aku rasa macam tak larat sangat. Masalahnya aku dah beli rumah kat Banting. Jadi aku akan terus berulang alik Banting - KL - Banting sampai ke tua? Adakah?


Aku berserah je lah pada yang maha menentukan. Aku dah usaha untuk majukan diri sendiri untuk kebahagiaan orang-orang terdekat dengan aku. Aku harap ketentuan Dia ni adalah yang terbaik untuk aku.


Orang kata badan nak pakai lama. Mana kau tau lama?

19.1.12

[cerpen] Hantu Jamban

"Tolong! Hantu!"


Jeritan Nisya mengejutkan penghuni asrama itu. Berbondong-bondong berlari menuju tandas hujung di mana suara jeritan Nisya kedengaran.


"Siling atas ni bergegar-gegar. Bunyi macam nak runtuh. Aku takut." Nisya teresak-esak. 


Niatnya melepas hajat malam itu terbantut dek bunyi yang menyeramkan dari atas siling. Sekejap ada sekejap hilang. Ustaz Rashid dipanggil. Segala mantera dan jampi serapah keluar dari mulut Ustaz Rashid. Niatnya hanya satu. Menghalau segala makhluk halus yang selama ini menghantui tandas asrama puteri itu.


Ini bukan kali pertama. Malah sepanjang tahun lepas, lebih sepuluh kali kejadian yang hampir sama berulang. Ustaz Rashid jugalah yang dipanggil. Kebiasaannya berjaya menghalau. Tapi tidak berjaya mencegah daripada ia datang semula.


Mantera di baca kian laju dan kuat. Hantu itu seakan-akan panas. Bunyi seakan berlari di atas siling. Semakin halus dan menjauh dan sekejapan kemudian ia  hilang. Dan keadaan kembali seperti sediakala. 

"Sudahlah Nisya. Keadaan dah pulih. Awak baliklah ke dorm awak. Kalau mahu ke tandas pastikan berteman. Banyakkan berzikir di dalam hati. InsyaAllah semua selamat."


"Terima kasih ustaz."


Malam itu tiada siapa pun yang berani ke tandas. Segala hajat disimpan sehingga siang.


+++


"Apahal kaki kau Man?" Zaki menegur bila melihat Azman jalan dengkut menuju ke kelas.


"Jatuh."


"Dari siling?"


"Shhh jangan cakap dengan orang lain. Kau sorang je tahu."


"Apa kes?"


"Tak sempat aku nak sekodeng awek freshie tu kat toilet, kaki aku tergelincir. Bergegar siling. Lepas tu kecoh la kat situ bila budak tu menjerit. Aku lari la turun kt lubang siling bilik stor hujung tu. Jatuh pulak. Sial!"  




  

9.1.12

sinisduabelas 10 : laknat

salute orang yang berani lafaz sumpah laknat.


dan pandang sinis laknat Allah.