Showing posts with label puisi picisan. Show all posts
Showing posts with label puisi picisan. Show all posts

18.12.12

Melengkapi


Ketika hidup aku menuju kelam
Kau hadir membawa sinar
Sinar yang datang dari tulus kudus hati
Menerangi jalan yang sebelum itu hanyalah lorong-lorong busuk

Kau temani aku
Kita harung bersama busuk-busuk itu
Kita redah lopak sengketa
Kita tempuh ranjau nestapa

Maafkan aku jika aku pernah menjerit
Maafkan aku jika aku pernah mengherdik
Maafkan aku jika aku pernah berpaling
Itu khilafku
Kerna membaca hatimu begitu sukar
Sedang kau dalam diam menerobos seluruh pelusuk hatiku

Dalam pincang aku bertatih
Dalam tempang aku berlari
Kau menjadi kaki kiri kepada kananku
Kau menjadi tangan kanan kepada kiriku
Berdetik dalam hela nafasku
Berdenyut dalam setiap getar nadiku
Melengkapi

Dalam aku menulis yang ini
Muncul satu layar hologram maya dihadapanku
Menayangkan detik kau menyokong aku ketika jatuh
Menayangkan sedutan kisah suka duka yang kita lalui bersama
Menayangkan keperihan kau melahirkan zuriat pewaris kita
Buat fikiranku menerawang bebas di angkasa raya
Memikirkan betapa siapalah aku tanpa kau

Tiga tahun
Kau menjadi yang halal bagiku
Akan ku jaga cinta ini agar menjadi abadi

To my lovely beautiful lady
HAPPY ANNIVESARY
Hope we will always be together
Sampai mati

28.11.12

DUNIA GELAP


Peluknya tiada kejap
Dengusnya tiada ghairah
Hayunan lesu tiada bernyawa
Hanya melepas tanggungjawab bersama

Kelmarin,
Hadirnya si ketiga membawa berita. Membawa cerita berbeza. Lorong yang malap kini lebih ceria. Kembali mekar kuntum-kuntum berbunga.
Kelmarin,
Tanah segar bagai baru digembur dibaja rapi setiap hari. Membaja bagai memberi nyawa baru. Nafas kembali segar. Malah dengusnya lebih ghairah dari yang biasa. Tuturnya nakal menjentik hati si ketiga.
Kelmarin,
Si ketiga menyusun kata. Mahu merampas takhta. Mahu jadi setaraf si pertama. Sedang tahu si pertama masih menjadi penunggu setia. Namun si ketiga jalannya sedia ada.
Kelmairn,
Usai sesi membaja. Si ketiga melakar senyum durjana. Katanya rakaman klipnya sudah merata. Barangkali sudah sampai kepada si pertama.

Hari ini,
Segala isi dunia bagai berlaga sesama sendiri. Si dia tiada tempat bersembunyi. Si pertama membongkar segala sendiri. Dalam membusung zuriat terkasih, si dia menabur benih ke laman terpilih.
Hari ini,  
Si pertama menangis tiada henti. Si dia yang dikasihi kini tiada lagi. Bukan si ketiga tidak boleh bermadu. Tetapi tidak sanggup menanggung malu. Si dia yang di kasihi, kini beramal songsang dengan teman pengganti.

Sekarang,   
Hidup si dia semakin kusut. Walau nampak mengikut turut. Di dalam hatinya sudah tiada taman yang berbunga indah. Sebaliknya beraja kesumat dendam durja dan amarah.
Sekarang,
Si ketiga sudah jemu. Lari mencari lelaki baru.


#Nauzubillahi Minzalik.

20.11.12

Abah..Pulanglah


Abah kata tenang
Tapi aku rasa kota ini sedang tegang

Abah kata mereka sedang merayakan sesuatu
Tapi aku rasa itu bunyi bedilan di balik pintu

Abah kata jangan keluar rumah
Tapi abah pergi tinggal Ana, tinggal ibu

Abah kata abah kejar syahid
Tapi abah belum pulang

Siapa syahid?
Kenapa abah kejar syahid?
Abah..ibu belum makan
Ana mahu susu

Semalam kawan abah datang jumpa ibu
Katanya abah sudah jumpa syahid

Abah pulanglah
Ana mahu susu.


*cubaan untuk turut serta terlibat dalam terbitan #ZineUntukGaza

15.8.12

hari raya piatu

dikala ini
setiap putaran lagu
lunak merdu dendang syahdu
membawa seribu sumpah dihati
menggamit rasa benci

rasa cemburu merusuh
mana satu yang kau panggil keriangan
apa maksudmu dengan kebahagiaan
adakah ini hari yang kau kata kegembiraan

jika benar
bagaimana cara untuk aku nikmati
kebahagiaan itu
keriangan itu
jika tiada siapa disisi
tiada saudara
tiada keluarga
hanya aku sendiri

ini bukan harinya
bukan hari raya
hari rayaku mungkin di syurga

9.8.12

hikmah

tidak tahu caranya
bagaimana mahu dilontarkan
bahasa hati yang penuh gundah
penuh resah susah
perit jerih selama ini
bagai tiada akhirnya

apakah sembahku dipandang sepi
adakah pohonku tidak akan dipenuhi
mungkinkah du'a ku sekadar raungan basi

namun aku percaya
dengan nama takdir
hikmat dan nikmat pasti muncul jua
entahkan bila
tak tahu di mana
adakah masih bernafas
atau sudah reput dipeluk hamis tanah
namun pasti ada titik noktahnya

ramadhan

dimana sahurku
apakah iftarku
hanya reguk liur dengan doa dan niat
niat yang menghubungkan aku begitu dekat dengan sang pencipta

puasaku untukmu
terimalah seadanya
moga siksa azab dunia
mencambah nikmat di syurga