Malam itu agak bahang baginya. Rasa seperti ada matahari
dalam dorm itu. Naufal gelisah. Badannya sudah berpeluh-peluh.
“Apa budak-budak ni tak rasa panas ke? Pelik betul. Kipas
punyalah laju. Budak lain berselubung selimut tidur bukan main nyenyak tapi aku
berpeluh-peluh apehal ni” Naufal bermonolog sendirian.
Rakan satu dorm yang lain lena dibuai mimpi. Tapi Naufal
makin gelisah. Bajunya ditanggalkan. Hanya tinggal boxer sahaja. Dia cuba
memaksa matanya untuk lelap. Gagal.
“Tak boleh jadi ni. Tidur bawah la. Mampus la warden nak
marah pun. Bukan dia tahu aku kepanasan ni”
Tilam ditarik turun ke lantai. Betul-betul di bawah kipas
yang laju berpusing. Harapnya dia akan dapat tidur lena malam itu. Bantal
disusun ke posisi yang betul. Selimut sudah siap sedia di sisi. Mana tahu
tiba-tiba dia kesejukan nanti. Mata di pejam.
“Bismillah”
GEDEGANG!
Naufal tersentak. Satu bunyi hentakan yang kuat ke lantai
didengari dari hujung koridor disusuli dengan bunyi aneh seakan-akan orang
berjalan sambil menyeret kaki. Malam yang sunyi tanpa unggas dan cengkerik
memang membantu bunyi yang sayup-sayup menjadi lebih kuat dan menggerunkan di
telinga Naufal. Dadanya bergoncang. Nafasnya hampir tersekat.
“Ah..celaka betul. Siapa pulak berjalan-jalan kat koridor
pagi-pagi buta macam ni” Naufal ketakutan.
Tiada seorang pun rakan-rakannya yang terjaga dek bunyi
hentakan itu tadi. Semua nampak lena dan tenang. Sesekali bunyi dengkuran
kedengaran. Tapi bunyi yang mengganggunya kali ini memang menakutkan. Bunyi seretan tapak kaki itu semakin lama
semakin hampir. Semakin lama semakin kuat. Semakin jelas.
Selimut ditarik menutupi seluruh badan dan mukanya. Panas
tadi kini bertukar dingin. Dingin dan berpeluh. Bunyi itu berhenti betul-betul
di hadapan pintu dormnya. Naufal menggigil seram sejuk. Cuba membaca segala
ayat Al-Quran yang terlintas di kepalanya ketika itu walau dia tahu bacaannya
tunggang langgang.
Tiba-tiba Naufal berasa sedikit bahang di bahagian atas
kepalanya disusuli bunyi dengusan nafas yang kasar. Dia memejamkan matanya
rapat-rapat. Bunyi nafas itu semakin dekat di telinganya.
“HOI BANGUN SUBUH HOI. APESAL KAU TIDUR BAWAH NI”
Cikgu Arshad, warden yang tempang itu datang mengejutkan
pelajar untuk sembahyang subuh. Celaka.
No comments:
Post a Comment