Ini sangat sukar. Tiada yang mampu
aku lakukan untuk bendung rasa ini. Rasa yang lahirnya secara semula jadi. Aku tak
paksa. Dan aku juga rasa ia tak salah. Antara mereka masih belum punya apa-apa.
Hanya ikatan yang tidak jelas warnanya yang lahir dari perjanjian lisan
masing-masing di zaman sekolah dahulu. Dan aku hadir saat hubungan mereka ini
sedang bergolak.
“Tapi mereka sudah lama bersama,
Lynn”
“Aku tak rasa itu merupakan alasan
terbaik untuk aku angkat kaki. Durasi sesuatu perhubungan itu tak menjanjikan
apa-apa”
“Tapi kau akan dianggap sebagai
perampas”
“Tapi Nadim juga rasa apa yang aku
rasa. Aku tidak menggoda dia. Aku cuma suka dia. Dan aku pasti, dia juga suka
aku”
“Tapi dia dah ada Salima. Kekasihnya
dari zaman sekolah lagi”
“Itu bukan masalah aku. Ya, mungkin
buat masa sekarang..”
Aku keliru. Karisma, teman rapatku
juga bantah hubungan ini. Tapi rasa dalam hati ini tiada siapa yang dapat
halang. Nadim juga begitu. Malah dia lebih keliru daripada aku. Keliru kerana
hatinya kini terbahagi tiga. Satu untuk Salima, satu untuk aku dan satu lagi
untuk dirinya sendiri.
Pernah Nadim meluahkan pada aku yang
hatinya pada Salima hanya tinggal secebis sedangkan ia berbunga indah pada aku.
Tapi demi menjaga hati Salima dan keluarganya, dia belum mampu untuk memutuskan
hubungan mereka. Aku pasrah.
Ini cinta pertama aku. Aku sukar
untuk jatuh cinta. Karisma kata aku keras hati. Tapi dengan Nadim hati aku
seperti ais yang dijemur di padang konkrit di bawah terik matahari. Cair. Dia
juga begitu. Kali pertama terserempak, kami berdua terpaku hampir setengah
minit. Mungkin akibat pandangan terus ke dalam matanya yang redup itu membuatkan
hati aku bergoncang kuat seperti gempa bumi berukuran 7.8 dalam skala richter.
Sejak itu kami terus berhubungan.
Kebetulan Nadim dan Salima sedang menghadapi satu krisis yang agak tegang
setegang keadaan di tebing barat ketika itu. Kehadiran aku dalam hidupnya
sedikit sebanyak membantu menguruskan keadaannya yang sedang kusut. Keadaan
Salima aku tak tahu la pula. Biarlah bukan masalah aku.
Kami menjalani hidup seperti
pasangan bercinta yang lain. Kami bahagia. Kami ada lagu cinta kami sendiri.
Kami ada tarikh-tarikh penting yang akan di sambut bersama. Kami pergi bercuti
bersama, makan bersama, (tidur bersama belum pernah lagi) seperti juga
pasangan-pasangan lain. Sehingga aku rasa Nadimlah masa depan aku. Nadimlah
kunci kebahagiaan aku. Dan kadang-kadang aku sendiri terlebih ke depan bila
membayangkan bahawa Nadimlah bapa kepada anak-anak aku.
Tapi bila aku tanya tentang masa
depan hubungan kami, Nadim seakan mengelak. Katanya biar dia uruskan bahagian
Salima dahulu. Setiap kali aku tanya, setiap kali itu jugalah dia sebut nama
Salima. Sehingga aku rasa apa yang Karisma katakan dahulu ada juga betulnya. Masa
depan hubungan ini tidak jelas warnanya. Kelabu. Sebelum keadaan jadi lebih
parah, aku rasa mungkin ini masa yang paling tepat untuk aku angkat kaki.
“Nadim, aku perlu undur diri. Aku
tidak mahu dianggap punca kamu dan Salima berpisah. Biarlah aku yang rasa
pedihnya asal kamu bahagia”
“Lynn, aku serba salah. Aku sayang
kamu. Aku juga sayang dia..”
“Cukup Nadim. Aku pergi dulu. Terima
kasih kerana beri aku merasa nikmat cinta walau cuma seketika. Bersama dengan
kamu bagai berada di dalam mimpi yang paling sempurna. Tapi aku sedar ini cuma
sementara. Tiada bertahan lama. Jadi biarlah aku terseksa asal orang yang aku
sayang merasai nikmat bahagia. Aku pergi dulu”
+++
“Lynn, aku ada something nak bagi
kat kau. Aku harap kau bersedia”
“Apa dia Karisma? Kau jangan buat
aku gabra”
Karisma hulur sekeping kad walimatul
urus rona merah jambu kepada aku. Aku seakan hanyut dalam arus kenangan cinta
kami bila terbaca nama Nadim dan Salima di kad itu. Baru dua minggu kami
berpisah secara rasmi.
Jadi aku faham sekarang. Mahu urus
bahagian Salima itu sebenarnya mahu menguruskan hal perkahwinan mereka. Aku
hanya jadi badut yang kerjanya menghiburkan hati orang yang sedang berduka.
Sedang si badut hatinya tiada siapa peduli.
“Sabarlah Lynn. Mungkin pengorbanan
kau kali ini membawa hikmah yang besar hari esok. Cuba kau bayangkan dia
lepaskan Salima untuk bersama kau, tak mustahil dia akan lepaskan kau untuk
bersama orang lain satu hari nanti” Karisma cuba menenangkan aku. Aku redha.
+++
Setelah dua tahun, aku kini menjadi
normal kembali. Cik Lynn yang keras hati. Aku tidak mampu untuk menerima
mana-mana cinta lelaki. Hinggakan hadir dalam hidup aku seorang lelaki yang
berjaya melembutkan semula hati ini. Kenangan cinta bersama Nadim kini kembali
bersarang bila aku tahu lelaki ini juga milik orang. Aku benci rasa ini.
Keliru.
No comments:
Post a Comment