5.10.12

[cerpen] Puaka Kucing Hitam


3.30 am

“Celaka betul dia jadi lagi. Aku nak tidur la woi jangan ganggu aku”

Lan Tapai bangkit bungkam. Tidurnya diganggu dek alarm yang berbunyi sendiri pukul 3.30 pagi. Lan Tapai adalah jenis yang susah nak tidur tetapi bila sudah tidur, susah pula nak bangun. Bila sudah tidur dan terbangun tengah malam, memang tak akan tidur la jawabnya. Memandangkan satu show cause letter dan satu warning letter dari HR sudah diterimanya dalam bulan ini akibat kerap lambat masuk kerja, Lan Tapai sedar sesuatu harus dilakukan.  Alarm di telefon bimbitnya disetkan ke volume yang paling tinggi dan diletakkan paling dekat dengan telinganya. Mujur tidurnya tidak lasak. Tidur mati mana ada lasak. Macam orang mati.

Tapi akhir-akhir ini alarmnya kerap berbunyi sendiri. Dan setiap kali berbunyi sendiri, ia mesti pukul 3.30 pagi. Lan Tapai adalah satu jenis manusia yang tidak percaya benda karut marut, tahyul dan hantu. Sebab tu dia berani tinggal berseorangan di rumah flat yang kurang komuniti penduduknya di sebuah daerah di pinggir ibu kota. Dia adalah penggemar sunyi dan pembenci manusia drama. Bukan penggiat drama, tetapi manusia yang gemar berdrama tanpa lensa.

“Celaka balik-balik siaran ulangan. Membazir aku bayar tiap-tiap bulan. Hari-hari tengok cerita yang sama”

Tiada yang lain yang boleh dilakukan selain menonton tv jika terjaga pukul 3.30 pagi begini. Tapi siaran ulangan yang di tonton Lan Tapai di saluran astro sekarang ini sudah lebih enam kali ditonton. Mual.

DVD Final Destination 5 cetak rompak dikeluarkan dari sarung plastiknya. TV di alih ke mode AV dan butang play di pemain cakera video digital Pensonic buatan Guangzhou ditekan.

Belum sampai sepuluh minit cerita berlangsung, perutnya bergelojak. Bahana membaham Meggi Tomyam dua paket sebelum tidur. Bukan cheapskate, tapi Lan Tapai jenis yang malas bersusah payah untuk sesuatu yang dinamakan makanan. Baginya, apa saja yang ada boleh ditelan asalkan tidak memudaratkan boleh dijadikan alas perut. Dia bukan rajin sangat nak ke mapley yang jauhnya berbatu tapi hanya sekadar memesan roti kosong dan teh tarik. Rugi masa dan tenaga katanya.

“Meggi ni dah expired ke apa. Celaka betul. Tak pasal-pasal nak terberak pagi-pagi buta macam ni”

Pause.

++

Tanggal seluar sarung tuala. Pintu tandas dikuak hingga terpelahang buka. Tuala ditanggalkan dan mangkuk tandas putih berseri ditenung sebaik saja pintu tandas ditutup.

“Apalah nasib aku wahai mangkuk. Pagi-pagi buta sejuk macam ni kena bercinta dengan kau pulak. Perut ni pun satu hal. Bukan reti nak tunggu siang sikit”

Itulah rutin Lan Tapai. Bermonolog sendirian ditemani perabut dan pinggan mangkuk yang tak berapa nak ada di rumahnya. Itu pun peninggalan tuan rumah yang disewanya. Apa yang benar-benar milik mutlak Lan Tapai hanyalah sekeping tilam bujang dan bantal kekabu zaman perang Jepun turun temurun dari datuknya. Dia selesa begitu.

Lan Tapai pernah duduk dengan teman-teman kolejnya dahulu. Zaman kolej mana ada duit sendiri nak duduk sorang. Terpaksa berkongsi dengan kawan-kawan yang karenahnya pelbagai. Macam-macam jenis manusia yang tinggal bersamanya membuatkan dia rimas. Walau hanya lima orang satu rumah, perangai masing-masing sudah cukup membuatkan Lan Tapai serik untuk tinggal di rumah bujang lagi.

Si Syazwan budak JB dengan video gamenya. Tiada apa yang dia tak tahu pasal dunia game. Tapi dunia dia hanyalah didalam video game.

Faithullah. Nama macam ustaz. Perangai macam parewa iblis durjana. Sebut saja perempuan mana yang tak pernah jadi mangsanya. Dengan pakej susunan ayat manis dan muka iras-iras Azwan Haji Ali, Faitul akan mengayat setiap awek-awek freshie yang dirasakan boleh dibawa ke tengah untuk menjadi teman sepertidurannya. Sama ada awek tu akan ke tengah atau dia di tengah-tengah belum dapat dipastikan.

Bard Kapal si kacukan cina muslim dengan dunia muziknya hitamnya. 24/7 dengan lagu metalcore diulang-ulang di corong radio buruknya. Walaupun buruk tetapi mampu memainkan cd cetak rompak dengan baik tanpa sangkut-sangkut. Antara lagu yang...

GEDEGANG!!

Lamunan Lan Tapai terhenti. Tahinya juga terputus di pertengahan. Pagi ini proses ulangan ekosistem normal Lan Tapai terganggu. Satu bunyi dentuman yang separa kuat kedengaran dari ruang tamu. Pelik. Dia tinggal bersendirian. Tidak membela kucing mahupun mentibang hutan. Kalau ada pun hanya sekawan nyamuk yang gemar membuat onar ketika dia sedang tidur. Tapi dia pasti nyamuk tidak mampu membuat bising seperti itu.

Flush.

++

Lan Tapai keluar dari kubikal empat segi itu bagi memeriksa pelusuk rumahnya. Mencari punca bagi bunyi yang mengganggu penyampaian hajatnya sebentar tadi. Tapi tiada apa yang pelik. Cuma bunyi deruman kapal terbang dari filem Final Destination 5 dari kaca tv nya yang bersaiz 21 inci setengah made in Bertam itu yang sedang galak berkumandang. Sudah masuk ke pertengahan cerita rupanya. Banyak babak yang sudah dia ketinggalan.

“Eh, bukan aku dah pause ke tadi? Dah sampai separuh cerita pulak tu. Berapa lama aku berak tadi? Ish pelik betul”

Dalam pada dia berfikir mengenai siapa yang menekan butang play ketika dia melabur dalam bank simpanan nasional sebentar tadi, kedengaran bunyi kucing mengiau di luar pintu rumahnya. Lan Tapai kerling ke arah jam di dinding.

“Ah, baru 3.40 pagi. Ni kucing mana pulak sesat ni? Kang berak atas kasut aku tak pasal-pasal aku pakai terompah pergi kerja. Eh kejap. 3.40 pagi? Bukan ke…arghhh pening kepala aku”

Sambil berjalan menuju ke muka pintu Lan Tapai menggaru-garu dahi jendulnya yang bertambah jendul sejak akhir-akhir ini akibat tidurnya yang selalu terganggu. Banyak benda menggangu fikirannya ketika ini. Dia kini berhadapan dengan pintu rumahnya. Dengan sekali tombol dipulas, pintu kayu yang sudah lapuk itu terpelahang buka. Bunyi keriuk engsel besi bergesel dengan karat yang berceratuk mengilukan Lan Tapai. Bulu tengkuk meremang.

Sebaik pintu dibuka, terlihat akan Lan Tapai seekor kucing dewasa yang belum dapat dipastikan jantinanya duduk dimuka pintu menghadapnya. Seluruh badan kucing itu berwarna hitam tanpa dicemari waima secalit warna lain. Mungkin menggunakan syampu bawang. Matanya bundar bak gadis Korea yang palsu berwarna merah terang memandang tepat kearah anak mata Lan Tapai.

Lan Tapai memang suka akan kucing. Di kampungnya dahulu kucing jugalah yang menjadi penemannya meronda kampung diwaktu petang. Kucingnya bernama Tom. Tetapi bukan Tom yang boleh mengajuk cakap orang didalam Ipad tu. Nama penuhnya Tomboi. Melihat kucing hitam ini teringat dia akan Tom yang sudah mati digilis lori ikan di halaman rumah suatu ketika dahulu. Dendamnya pada Shamuganathan penjual ikan dari rumah ke rumah itu belum terbalas. Sampai hati dia reverse lori pikapnya tanpa melihat cermin pandang belakang. Dia tak nampak ke Tom tengah mengejar-ngejar lorinya bagi mencilok ikan barang seekor dua untuk dijadikan makan tengahari. Celaka Shamuganathan. RIP Tomboi.

“Hai kucing, mana tuan kau? Kenapa kau datang rumah aku malam-malam ni. Bukan ada kuih raya pun. Air sirap selasih ada la minggu lepas punya. Tu pun aku tapau dari open house officemate aku. Kau nak?”

Sedang dia membongkok untuk mengambil kucing itu, Lan Tapai terlihat kelibat seorang manusia di hujung koridor sedang memerhatikannya. Lan Tapai mengecilkan mata bagi menambah fokus penglihatannya yang kebelakangan ini semakin teruk lebih-lebih lagi diwaktu malam. Kelibat manusia yang sedang berdiri tegak memerhatikannya itu mengenakan busana rona putih menutupi kaki dengan rambut panjang mengurai mencecah pusat. Mukanya tidak kelihatan. Mungkin perempuan. Mungkin juga mat dadah yang kurang duit untuk pergi ke salun. Di zaman yang serba moden ini, jantina seorang manusia tidak boleh ditentukan hanya dengan memandang luaran sahaja.

“Ni makwe mana pulak duk bersidai malam-malam ni. Nak bersidai siang-siang la tengah panas. Baru kering. Ish kena pergi ushar ni. Mungkin memerlukan bantuan”

Tak semena-mena kucing di hadapannya melompat tinggi mencakar pipi kiri Lan Tapai sebelum berlari laju menuju ke arah tangga.

“Lahanat punya kucing. Orang nak bagi minum dia cakar pulak. Aku goreng buat lauk baru padan muka. Eh, mana makwe tadi. Sekejap betul dia hilang. Terjun bunuh diri ke apa?”

Lan Tapai mengambil keputusan untuk tidak meneruskan niat untuk mengushar makwe itu bagi mengelakkan fitnah. Kalau betul dia bunuh diri, Lan Tapai tidak mahu disabitkan sebagai saksi. Tunggu pagi nanti mesti ada yang jumpa mayatnya. Dia masuk semula ke dalam rumah sambil mengusap pipinya yang luka.

Sebaik menutup pintu, Lan Tapai terkejut yang bukan kepalang bila dia terlihat kucing yang mencakarnya tadi sedang berlegar-legar di ruang tamu sambil memandangnya. Jangtungnya berdegup kencang. Adrenalinnya mencanak-canak naik. Nafasnya mencungap. Peluh jantan merecik didahi jendulnya.

“Binatang punya kucing. Tadi lari ke tangga. Ni boleh pulak ada dalam rumah aku. Bila masa kau masuk? Kau ni kucing ke apa hah?”

Lutut Lan Tapai menggeletar ketakutan. Tidak pernah dia merasa takut begini. Peluh dingin merembes di segenap tubuh. Lan Tapai takut untuk melangkah. Kucing hitam itu masih memerhatikannya.

++

Lan Tapai mencapai batang penyapu yang memang disimpan di belakang pintu rumahnya untuk dijadikan alat mempertahankan diri. Mana tahu kucing itu akan bertindak kasar sekali lagi dengannya. Lan Tapai melangkah perlahan-lahan merapati kucing itu. Dia mahu membalas dendam atas apa yang telah diperlakukan.

Sebaik menghayun tinggi batang penyapu itu, kucing tersebut berdiri dengan kaki belakangnya dan perlahan-lahan menjadi tinggi dan tinggi. Wajah kucingnya tidak lagi kelihatan sebaliknya ia itu bertukar menjadi manusia. Ya, inilah manusia di hujung koridor yang dilihatnya tadi.

Lan Tapai jatuh terjelepuk hampir pitam. Tapi dia malu untuk pitam di hadapan perempuan. Ya manusia ini seakan-akan perempuan kerana terdapat buah dada yang membusung. Ah mungkin juga mak nyah yang mempunyai buah dada yang masak ranum dan boleh dimakan. Biasanya terdiri daripada buah epal Washington atau oren Sunkist.

“Hoi kau siapa hah? Apa kau nak? Jangan ganggu aku!” jerit Lan Tapai ketakutan.

“Kau siapa? Apa kau buat dalam rumah aku? Ini rumah aku. Tapi ini bukan tilam dan bantal aku. Busuk betul!” bentak lembaga itu dengan suaranya yang sangat garau dan menakutkan diiringi hilai tawa yang membingit.

Lan Tapai menggigil ketakutan. Dia selalu lihat babak ini dalam filem-filem hantu melayu yang tak berapa nak seram tetapi mendapat sambutan yang baik di pawagam. Tapi ini betul-betul berlaku di hadapannya. Di dalam rumahnya. Dan pelakonnya adalah dia dan hantu yang menakutkan ini.

“Ini rumah aku. Aku bayar sewa. Kau siapa? Kenapa kau ganggu aku?”

Pertanyaan Lan Tapai disambut hilai tawa yang paling nyaring. Beberapa gelas milik tuan rumah di dalam rumahnya pecah berderai akibat ketinggian pitching yang tak tercapai dek akal itu.

 “Aku pemilik rumah ini. Dan aku kembali hari ini untuk menuntut sewa. Eh bukan, untuk menuntut bela. Aku dibunuh oleh penyewa rumahku sendiri 5 tahun lalu. Dia cekik aku ketika aku datang untuk menuntut duit sewa rumah yang tertunggak. Kebetulan masa aku datang tu dia juga sedang melunaskan bil airnya yang tertunggak kepada makwenya. Dia malu sebab terkantoi dengan aku. Sebab tu dia bunuh aku. Aku tak kisah tapi jangan la sorokkan mayat aku dalam almari. Sampai sekarang orang tak jumpa. Aku nak kau keluarkan rangka aku dan dalam almari tu dan hubungi keluarga aku”

Sempat juga Lan Tapai hisap rokok dua batang sementara menuggu hantu itu habis bercerita. Baru kini dia teringat akan almari yang disebutkan oleh hantu itu. Tuan rumahnya pernah berpesan, almari di dalam stor itu jangan diusik. Ada barang peribadi yang akan diambil semula suatu hari nanti. Rupanya ada mayat. Tapi siapa tuan rumah yang sebenarnya?

Baru sahaja Lan Tapai hendak melangkah ke stor, hantu itu mencekik leher Lan Tapai dari belakang. Lan Tapai jatuh terjelepuk.

Pengsan.

++

“Sedar-sedar dah pukul 9.30. Kelam kabut saya mandi dan bersiap datang pejabat.”

“Sudah la Mazlan. Saya dah muak dengan cerita karut marut awak ni. Banyak betul alasan awak kalau datang lambat. Ini bukan kali pertama awak buat cerita merepek macam ni. Awak ingat saya nak percaya?”    

 “Tapi bos, kali ni  betul bos. Ini betul-betul berlaku malam tadi. Saya pengsan sebab tu tak boleh bangun. Saya dah set alarm tapi dia bunyi sendiri pukul 3.30……..”

“Sudah! Awak sain sini. Ini gaji terakhir awak. Saya dah ada pengganti pun untuk jawatan awak tu. Awak boleh berhenti kerja pejabat dan pergi tulis novel fiksyen atau mintak kerja dengan David Teo.”

Lan Tapai melangkah lesu.


TAMMAT.

6 comments:

  1. gelak sampai tepuk meja baca n3 ni... adoila... lan tapai!

    ReplyDelete
  2. hehe..terima kasih. tapi Lan Tapai ni memang wujud. (",)

    ReplyDelete
  3. terbaieeeekkkkkk!!!! hahahaha.... kecik besor...kecik besorr bijik mata aku nak baca cerpendek ko nihhh... mmg terbaiiiieeeeekkkkk!!!

    hahahahaha..... balas dendam nampak??

    ReplyDelete
  4. haha ini budak Oya kenal Lan Tapai.

    ReplyDelete
  5. azlan shidid ker??? kalau true story lagi syyiiiioooookkkkk......

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak boleh buat true story nanti aku kena saman. Ni pun ade dah sikit-sikit. kahkah

      Delete