3.30 am
“Celaka betul dia jadi lagi. Aku nak tidur la woi jangan ganggu aku”
Lan Tapai bangkit bungkam.
Tidurnya diganggu dek alarm yang berbunyi sendiri pukul 3.30 pagi. Lan Tapai
adalah jenis yang susah nak tidur tetapi bila sudah tidur, susah pula nak
bangun. Bila sudah tidur dan terbangun tengah malam, memang tak akan tidur la
jawabnya. Memandangkan satu show cause letter dan satu warning letter dari HR
sudah diterimanya dalam bulan ini akibat kerap lambat masuk kerja, Lan Tapai
sedar sesuatu harus dilakukan. Alarm di
telefon bimbitnya disetkan ke volume yang paling tinggi dan diletakkan paling
dekat dengan telinganya. Mujur tidurnya tidak lasak. Tidur mati mana ada lasak.
Macam orang mati.
Tapi akhir-akhir ini alarmnya
kerap berbunyi sendiri. Dan setiap kali berbunyi sendiri, ia mesti pukul 3.30
pagi. Lan Tapai adalah satu jenis manusia yang tidak percaya benda karut marut,
tahyul dan hantu. Sebab tu dia berani tinggal berseorangan di rumah flat yang
kurang komuniti penduduknya di sebuah daerah di pinggir ibu kota. Dia adalah
penggemar sunyi dan pembenci manusia drama. Bukan penggiat drama, tetapi
manusia yang gemar berdrama tanpa lensa.
“Celaka balik-balik siaran ulangan. Membazir aku bayar tiap-tiap bulan.
Hari-hari tengok cerita yang sama”
Tiada yang lain yang boleh
dilakukan selain menonton tv jika terjaga pukul 3.30 pagi begini. Tapi siaran
ulangan yang di tonton Lan Tapai di saluran astro sekarang ini sudah lebih enam
kali ditonton. Mual.
DVD Final Destination 5 cetak
rompak dikeluarkan dari sarung plastiknya. TV di alih ke mode AV dan butang
play di pemain cakera video digital Pensonic buatan Guangzhou ditekan.
Belum sampai sepuluh minit cerita
berlangsung, perutnya bergelojak. Bahana membaham Meggi Tomyam dua paket
sebelum tidur. Bukan cheapskate, tapi Lan Tapai jenis yang malas bersusah payah
untuk sesuatu yang dinamakan makanan. Baginya, apa saja yang ada boleh ditelan
asalkan tidak memudaratkan boleh dijadikan alas perut. Dia bukan rajin sangat
nak ke mapley yang jauhnya berbatu tapi hanya sekadar memesan roti kosong dan
teh tarik. Rugi masa dan tenaga katanya.
“Meggi ni dah expired ke apa. Celaka betul. Tak pasal-pasal nak
terberak pagi-pagi buta macam ni”
Pause.
++
Tanggal seluar sarung tuala.
Pintu tandas dikuak hingga terpelahang buka. Tuala ditanggalkan dan mangkuk
tandas putih berseri ditenung sebaik saja pintu tandas ditutup.
“Apalah nasib aku wahai mangkuk. Pagi-pagi buta sejuk macam ni kena
bercinta dengan kau pulak. Perut ni pun satu hal. Bukan reti nak tunggu siang
sikit”
Itulah rutin Lan Tapai.
Bermonolog sendirian ditemani perabut dan pinggan mangkuk yang tak berapa nak
ada di rumahnya. Itu pun peninggalan tuan rumah yang disewanya. Apa yang
benar-benar milik mutlak Lan Tapai hanyalah sekeping tilam bujang dan bantal
kekabu zaman perang Jepun turun temurun dari datuknya. Dia selesa begitu.
Lan Tapai pernah duduk dengan
teman-teman kolejnya dahulu. Zaman kolej mana ada duit sendiri nak duduk
sorang. Terpaksa berkongsi dengan kawan-kawan yang karenahnya pelbagai.
Macam-macam jenis manusia yang tinggal bersamanya membuatkan dia rimas. Walau
hanya lima orang satu rumah, perangai masing-masing sudah cukup membuatkan Lan
Tapai serik untuk tinggal di rumah bujang lagi.
Si Syazwan budak JB dengan video gamenya.
Tiada apa yang dia tak tahu pasal dunia game. Tapi dunia dia hanyalah didalam
video game.
Faithullah. Nama macam ustaz. Perangai
macam parewa iblis durjana. Sebut saja perempuan mana yang tak pernah jadi
mangsanya. Dengan pakej susunan ayat manis dan muka iras-iras Azwan Haji Ali,
Faitul akan mengayat setiap awek-awek freshie yang dirasakan boleh dibawa ke
tengah untuk menjadi teman sepertidurannya. Sama ada awek tu akan ke tengah
atau dia di tengah-tengah belum dapat dipastikan.
Bard Kapal si kacukan cina muslim
dengan dunia muziknya hitamnya. 24/7 dengan lagu metalcore diulang-ulang di
corong radio buruknya. Walaupun buruk tetapi mampu memainkan cd cetak rompak
dengan baik tanpa sangkut-sangkut. Antara lagu yang...
GEDEGANG!!
Lamunan Lan Tapai terhenti.
Tahinya juga terputus di pertengahan. Pagi ini proses ulangan ekosistem normal
Lan Tapai terganggu. Satu bunyi dentuman yang separa kuat kedengaran dari ruang
tamu. Pelik. Dia tinggal bersendirian. Tidak membela kucing mahupun mentibang
hutan. Kalau ada pun hanya sekawan nyamuk yang gemar membuat onar ketika dia
sedang tidur. Tapi dia pasti nyamuk tidak mampu membuat bising seperti itu.
Flush.
++
Lan Tapai keluar dari kubikal
empat segi itu bagi memeriksa pelusuk rumahnya. Mencari punca bagi bunyi yang
mengganggu penyampaian hajatnya sebentar tadi. Tapi tiada apa yang pelik. Cuma
bunyi deruman kapal terbang dari filem Final Destination 5 dari kaca tv nya
yang bersaiz 21 inci setengah made in Bertam itu yang sedang galak
berkumandang. Sudah masuk ke pertengahan cerita rupanya. Banyak babak yang
sudah dia ketinggalan.
“Eh, bukan aku dah pause ke tadi? Dah sampai separuh cerita pulak tu.
Berapa lama aku berak tadi? Ish pelik betul”
Dalam pada dia berfikir mengenai
siapa yang menekan butang play ketika dia melabur dalam bank simpanan nasional sebentar
tadi, kedengaran bunyi kucing mengiau di luar pintu rumahnya. Lan Tapai kerling
ke arah jam di dinding.
“Ah, baru 3.40 pagi. Ni kucing mana pulak sesat ni? Kang berak atas
kasut aku tak pasal-pasal aku pakai terompah pergi kerja. Eh kejap. 3.40 pagi?
Bukan ke…arghhh pening kepala aku”
Sambil berjalan menuju ke muka
pintu Lan Tapai menggaru-garu dahi jendulnya yang bertambah jendul sejak
akhir-akhir ini akibat tidurnya yang selalu terganggu. Banyak benda menggangu
fikirannya ketika ini. Dia kini berhadapan dengan pintu rumahnya. Dengan sekali
tombol dipulas, pintu kayu yang sudah lapuk itu terpelahang buka. Bunyi keriuk
engsel besi bergesel dengan karat yang berceratuk mengilukan Lan Tapai. Bulu
tengkuk meremang.
Sebaik pintu dibuka, terlihat
akan Lan Tapai seekor kucing dewasa yang belum dapat dipastikan jantinanya
duduk dimuka pintu menghadapnya. Seluruh badan kucing itu berwarna hitam tanpa
dicemari waima secalit warna lain. Mungkin menggunakan syampu bawang. Matanya bundar
bak gadis Korea yang palsu berwarna merah terang memandang tepat kearah anak
mata Lan Tapai.
Lan Tapai memang suka akan
kucing. Di kampungnya dahulu kucing jugalah yang menjadi penemannya meronda
kampung diwaktu petang. Kucingnya bernama Tom. Tetapi bukan Tom yang boleh
mengajuk cakap orang didalam Ipad tu. Nama penuhnya Tomboi. Melihat kucing
hitam ini teringat dia akan Tom yang sudah mati digilis lori ikan di halaman
rumah suatu ketika dahulu. Dendamnya pada Shamuganathan penjual ikan dari rumah
ke rumah itu belum terbalas. Sampai hati dia reverse lori pikapnya tanpa
melihat cermin pandang belakang. Dia tak nampak ke Tom tengah mengejar-ngejar
lorinya bagi mencilok ikan barang seekor dua untuk dijadikan makan tengahari.
Celaka Shamuganathan. RIP Tomboi.
“Hai kucing, mana tuan kau? Kenapa kau datang rumah aku malam-malam ni.
Bukan ada kuih raya pun. Air sirap selasih ada la minggu lepas punya. Tu pun
aku tapau dari open house officemate aku. Kau nak?”
Sedang dia membongkok untuk
mengambil kucing itu, Lan Tapai terlihat kelibat seorang manusia di hujung
koridor sedang memerhatikannya. Lan Tapai mengecilkan mata bagi menambah fokus
penglihatannya yang kebelakangan ini semakin teruk lebih-lebih lagi diwaktu
malam. Kelibat manusia yang sedang berdiri tegak memerhatikannya itu mengenakan
busana rona putih menutupi kaki dengan rambut panjang mengurai mencecah pusat.
Mukanya tidak kelihatan. Mungkin perempuan. Mungkin juga mat dadah yang kurang
duit untuk pergi ke salun. Di zaman yang serba moden ini, jantina seorang
manusia tidak boleh ditentukan hanya dengan memandang luaran sahaja.
“Ni makwe mana pulak duk bersidai malam-malam ni. Nak bersidai
siang-siang la tengah panas. Baru kering. Ish kena pergi ushar ni. Mungkin
memerlukan bantuan”
Tak semena-mena kucing di
hadapannya melompat tinggi mencakar pipi kiri Lan Tapai sebelum berlari laju
menuju ke arah tangga.
“Lahanat punya kucing. Orang nak bagi minum dia cakar pulak. Aku goreng
buat lauk baru padan muka. Eh, mana makwe tadi. Sekejap betul dia hilang.
Terjun bunuh diri ke apa?”
Lan Tapai mengambil keputusan
untuk tidak meneruskan niat untuk mengushar makwe itu bagi mengelakkan fitnah. Kalau
betul dia bunuh diri, Lan Tapai tidak mahu disabitkan sebagai saksi. Tunggu
pagi nanti mesti ada yang jumpa mayatnya. Dia masuk semula ke dalam rumah
sambil mengusap pipinya yang luka.
Sebaik menutup pintu, Lan Tapai
terkejut yang bukan kepalang bila dia terlihat kucing yang mencakarnya tadi
sedang berlegar-legar di ruang tamu sambil memandangnya. Jangtungnya berdegup
kencang. Adrenalinnya mencanak-canak naik. Nafasnya mencungap. Peluh jantan
merecik didahi jendulnya.
“Binatang punya kucing. Tadi lari ke tangga. Ni boleh pulak ada dalam
rumah aku. Bila masa kau masuk? Kau ni kucing ke apa hah?”
Lutut Lan Tapai menggeletar ketakutan.
Tidak pernah dia merasa takut begini. Peluh dingin merembes di segenap tubuh.
Lan Tapai takut untuk melangkah. Kucing hitam itu masih memerhatikannya.
++
Lan Tapai mencapai batang penyapu
yang memang disimpan di belakang pintu rumahnya untuk dijadikan alat
mempertahankan diri. Mana tahu kucing itu akan bertindak kasar sekali lagi
dengannya. Lan Tapai melangkah perlahan-lahan merapati kucing itu. Dia mahu
membalas dendam atas apa yang telah diperlakukan.
Sebaik menghayun tinggi batang
penyapu itu, kucing tersebut berdiri dengan kaki belakangnya dan perlahan-lahan
menjadi tinggi dan tinggi. Wajah kucingnya tidak lagi kelihatan sebaliknya ia
itu bertukar menjadi manusia. Ya, inilah manusia di hujung koridor yang
dilihatnya tadi.
Lan Tapai jatuh terjelepuk hampir
pitam. Tapi dia malu untuk pitam di hadapan perempuan. Ya manusia ini
seakan-akan perempuan kerana terdapat buah dada yang membusung. Ah mungkin juga
mak nyah yang mempunyai buah dada yang masak ranum dan boleh dimakan. Biasanya
terdiri daripada buah epal Washington atau oren Sunkist.
“Hoi kau siapa hah? Apa kau nak? Jangan ganggu aku!” jerit Lan
Tapai ketakutan.
“Kau siapa? Apa kau buat dalam rumah aku? Ini rumah aku. Tapi ini bukan
tilam dan bantal aku. Busuk betul!” bentak lembaga itu dengan suaranya yang
sangat garau dan menakutkan diiringi hilai tawa yang membingit.
Lan Tapai menggigil ketakutan.
Dia selalu lihat babak ini dalam filem-filem hantu melayu yang tak berapa nak
seram tetapi mendapat sambutan yang baik di pawagam. Tapi ini betul-betul
berlaku di hadapannya. Di dalam rumahnya. Dan pelakonnya adalah dia dan hantu
yang menakutkan ini.
“Ini rumah aku. Aku bayar sewa. Kau siapa? Kenapa kau ganggu aku?”
Pertanyaan Lan Tapai disambut
hilai tawa yang paling nyaring. Beberapa gelas milik tuan rumah di dalam
rumahnya pecah berderai akibat ketinggian pitching yang tak tercapai dek akal
itu.
“Aku pemilik rumah ini. Dan aku
kembali hari ini untuk menuntut sewa. Eh bukan, untuk menuntut bela. Aku
dibunuh oleh penyewa rumahku sendiri 5 tahun lalu. Dia cekik aku ketika aku
datang untuk menuntut duit sewa rumah yang tertunggak. Kebetulan masa aku datang
tu dia juga sedang melunaskan bil airnya yang tertunggak kepada makwenya. Dia
malu sebab terkantoi dengan aku. Sebab tu dia bunuh aku. Aku tak kisah tapi
jangan la sorokkan mayat aku dalam almari. Sampai sekarang orang tak jumpa. Aku
nak kau keluarkan rangka aku dan dalam almari tu dan hubungi keluarga aku”
Sempat juga Lan Tapai hisap rokok
dua batang sementara menuggu hantu itu habis bercerita. Baru kini dia teringat
akan almari yang disebutkan oleh hantu itu. Tuan rumahnya pernah berpesan,
almari di dalam stor itu jangan diusik. Ada barang peribadi yang akan diambil
semula suatu hari nanti. Rupanya ada mayat. Tapi siapa tuan rumah yang
sebenarnya?
Baru sahaja Lan Tapai hendak
melangkah ke stor, hantu itu mencekik leher Lan Tapai dari belakang. Lan Tapai
jatuh terjelepuk.
Pengsan.
++
“Sedar-sedar dah pukul 9.30. Kelam kabut saya mandi dan bersiap datang
pejabat.”
“Sudah la Mazlan. Saya dah muak dengan cerita karut marut awak ni. Banyak
betul alasan awak kalau datang lambat. Ini bukan kali pertama awak buat cerita
merepek macam ni. Awak ingat saya nak percaya?”
“Tapi bos, kali ni betul bos. Ini betul-betul berlaku malam tadi.
Saya pengsan sebab tu tak boleh bangun. Saya dah set alarm tapi dia bunyi
sendiri pukul 3.30……..”
“Sudah! Awak sain sini. Ini gaji terakhir awak. Saya dah ada pengganti
pun untuk jawatan awak tu. Awak boleh berhenti kerja pejabat dan pergi tulis
novel fiksyen atau mintak kerja dengan David Teo.”
Lan Tapai melangkah lesu.
TAMMAT.