18.12.12

Melengkapi


Ketika hidup aku menuju kelam
Kau hadir membawa sinar
Sinar yang datang dari tulus kudus hati
Menerangi jalan yang sebelum itu hanyalah lorong-lorong busuk

Kau temani aku
Kita harung bersama busuk-busuk itu
Kita redah lopak sengketa
Kita tempuh ranjau nestapa

Maafkan aku jika aku pernah menjerit
Maafkan aku jika aku pernah mengherdik
Maafkan aku jika aku pernah berpaling
Itu khilafku
Kerna membaca hatimu begitu sukar
Sedang kau dalam diam menerobos seluruh pelusuk hatiku

Dalam pincang aku bertatih
Dalam tempang aku berlari
Kau menjadi kaki kiri kepada kananku
Kau menjadi tangan kanan kepada kiriku
Berdetik dalam hela nafasku
Berdenyut dalam setiap getar nadiku
Melengkapi

Dalam aku menulis yang ini
Muncul satu layar hologram maya dihadapanku
Menayangkan detik kau menyokong aku ketika jatuh
Menayangkan sedutan kisah suka duka yang kita lalui bersama
Menayangkan keperihan kau melahirkan zuriat pewaris kita
Buat fikiranku menerawang bebas di angkasa raya
Memikirkan betapa siapalah aku tanpa kau

Tiga tahun
Kau menjadi yang halal bagiku
Akan ku jaga cinta ini agar menjadi abadi

To my lovely beautiful lady
HAPPY ANNIVESARY
Hope we will always be together
Sampai mati

11.12.12

[cerpen] PUTIH-KELABU-HITAM


      Pandangan  Derus semakin kabur. Seluruh dunia seakan berputar-putar. Darah membuak-buak keluar dari dadanya yang baru lepas ditikam oleh orang yang tidak dikenali.

     “A..apesal kk..kau nak bu..bunuh aku ha?” suara Derus tersekat-sekat.

     “Aku di upah untuk membunuh kau. Kau telah merosakkan segala rancangan Dato’ Ramli dalam proses tender balak tempoh hari. Kau tahu kan, Dato’ Ramli baru hilang peluang untuk dapat untung RM 3 juta dari kontraktor tu bila kontraknya terlepas ke tangan orang lain? Semua angkara kau. Hari ini kau terima padahnya.”

     “Apa kau m..merepek ni setan? Tender apa ni?”

     “Kau jangan nak berdalih Tahir. Kami tahu gerak geri kau. Hari ini aku sendiri akan hantar kau ke syurga. Ha ha ha ha”

     “Tahir? Aku Derus la sial. Ni sebelah aku ni Tahir!”

     Serentak dengan itu Tahir yang dari tadi pucat mukanya terus menghilangkan diri. Pangangan Derus kian kelam.

     Putih-kelabu-putih-kelabu-hitam.


10.12.12

[cerpen] KELIRU



            Ini sangat sukar. Tiada yang mampu aku lakukan untuk bendung rasa ini. Rasa yang lahirnya secara semula jadi. Aku tak paksa. Dan aku juga rasa ia tak salah. Antara mereka masih belum punya apa-apa. Hanya ikatan yang tidak jelas warnanya yang lahir dari perjanjian lisan masing-masing di zaman sekolah dahulu. Dan aku hadir saat hubungan mereka ini sedang bergolak.

            “Tapi mereka sudah lama bersama, Lynn”

       “Aku tak rasa itu merupakan alasan terbaik untuk aku angkat kaki. Durasi sesuatu perhubungan itu tak menjanjikan apa-apa”

            “Tapi kau akan dianggap sebagai perampas”

           “Tapi Nadim juga rasa apa yang aku rasa. Aku tidak menggoda dia. Aku cuma suka dia. Dan aku pasti, dia juga suka aku”

            “Tapi dia dah ada Salima. Kekasihnya dari zaman sekolah lagi”

            “Itu bukan masalah aku. Ya, mungkin buat masa sekarang..”

            Aku keliru. Karisma, teman rapatku juga bantah hubungan ini. Tapi rasa dalam hati ini tiada siapa yang dapat halang. Nadim juga begitu. Malah dia lebih keliru daripada aku. Keliru kerana hatinya kini terbahagi tiga. Satu untuk Salima, satu untuk aku dan satu lagi untuk dirinya sendiri.

            Pernah Nadim meluahkan pada aku yang hatinya pada Salima hanya tinggal secebis sedangkan ia berbunga indah pada aku. Tapi demi menjaga hati Salima dan keluarganya, dia belum mampu untuk memutuskan hubungan mereka. Aku pasrah.

            Ini cinta pertama aku. Aku sukar untuk jatuh cinta. Karisma kata aku keras hati. Tapi dengan Nadim hati aku seperti ais yang dijemur di padang konkrit di bawah terik matahari. Cair. Dia juga begitu. Kali pertama terserempak, kami berdua terpaku hampir setengah minit. Mungkin akibat pandangan terus ke dalam matanya yang redup itu membuatkan hati aku bergoncang kuat seperti gempa bumi berukuran 7.8 dalam skala richter.

            Sejak itu kami terus berhubungan. Kebetulan Nadim dan Salima sedang menghadapi satu krisis yang agak tegang setegang keadaan di tebing barat ketika itu. Kehadiran aku dalam hidupnya sedikit sebanyak membantu menguruskan keadaannya yang sedang kusut. Keadaan Salima aku tak tahu la pula. Biarlah bukan masalah aku.

            Kami menjalani hidup seperti pasangan bercinta yang lain. Kami bahagia. Kami ada lagu cinta kami sendiri. Kami ada tarikh-tarikh penting yang akan di sambut bersama. Kami pergi bercuti bersama, makan bersama, (tidur bersama belum pernah lagi) seperti juga pasangan-pasangan lain. Sehingga aku rasa Nadimlah masa depan aku. Nadimlah kunci kebahagiaan aku. Dan kadang-kadang aku sendiri terlebih ke depan bila membayangkan bahawa Nadimlah bapa kepada anak-anak aku.

            Tapi bila aku tanya tentang masa depan hubungan kami, Nadim seakan mengelak. Katanya biar dia uruskan bahagian Salima dahulu. Setiap kali aku tanya, setiap kali itu jugalah dia sebut nama Salima. Sehingga aku rasa apa yang Karisma katakan dahulu ada juga betulnya. Masa depan hubungan ini tidak jelas warnanya. Kelabu. Sebelum keadaan jadi lebih parah, aku rasa mungkin ini masa yang paling tepat untuk aku angkat kaki.  

          “Nadim, aku perlu undur diri. Aku tidak mahu dianggap punca kamu dan Salima berpisah. Biarlah aku yang rasa pedihnya asal kamu bahagia”

            “Lynn, aku serba salah. Aku sayang kamu. Aku juga sayang dia..”

            “Cukup Nadim. Aku pergi dulu. Terima kasih kerana beri aku merasa nikmat cinta walau cuma seketika. Bersama dengan kamu bagai berada di dalam mimpi yang paling sempurna. Tapi aku sedar ini cuma sementara. Tiada bertahan lama. Jadi biarlah aku terseksa asal orang yang aku sayang merasai nikmat bahagia. Aku pergi dulu”

                                                          +++

            “Lynn, aku ada something nak bagi kat kau. Aku harap kau bersedia”

            “Apa dia Karisma? Kau jangan buat aku gabra”

Karisma hulur sekeping kad walimatul urus rona merah jambu kepada aku. Aku seakan hanyut dalam arus kenangan cinta kami bila terbaca nama Nadim dan Salima di kad itu. Baru dua minggu kami berpisah secara rasmi.

            Jadi aku faham sekarang. Mahu urus bahagian Salima itu sebenarnya mahu menguruskan hal perkahwinan mereka. Aku hanya jadi badut yang kerjanya menghiburkan hati orang yang sedang berduka. Sedang si badut hatinya tiada siapa peduli.

            “Sabarlah Lynn. Mungkin pengorbanan kau kali ini membawa hikmah yang besar hari esok. Cuba kau bayangkan dia lepaskan Salima untuk bersama kau, tak mustahil dia akan lepaskan kau untuk bersama orang lain satu hari nanti” Karisma cuba menenangkan aku. Aku redha.

                                                          +++

            Setelah dua tahun, aku kini menjadi normal kembali. Cik Lynn yang keras hati. Aku tidak mampu untuk menerima mana-mana cinta lelaki. Hinggakan hadir dalam hidup aku seorang lelaki yang berjaya melembutkan semula hati ini. Kenangan cinta bersama Nadim kini kembali bersarang bila aku tahu lelaki ini juga milik orang. Aku benci rasa ini. Keliru. 

6.12.12

[cerpen] PERGI


“Along naik dengan ayah la. Biar Angah drive dengan diorang semua. Pompuan-pompuan senang sikit nak gossip”

“Kamu boleh ke Ngah? Jauh ni”

“Kami follow belakang ayah la. Tapi kalau ayah lambat, kami pergi dulu”

 Minggu pertama cuti sekolah memang kurang orang balik kampung. Lagipun tengah bulan. Ayah ajak balik kampung sebab nenek sakit. Aku satu kereta dengan ayah, ibu dan adik. Angah pandu kereta lagi satu dengan adik-adik perempuan yang lain.

“Kamu jaga jarak ye Ngah. Jangan terlalu rapat. Jangan pula terlalu jauh”

“Angah tahu la ayah. Jangan la risau. Jom kita gerak”

Hati aku rasa tidak tenteram. Aku tahu ayah juga begitu. Sepanjang perjalanan ayah asyik menjengah cermin pandang belakang.

“Ayah, adik nak kencing. Tak tahan ni”

“Ok kejap. Ayah call Angah”

Ayah memecut sedikit meninggalkan kereta Angah di belakang. Katanya jumpa di RnR yang paling hampir.

“Dah setengah jam yah. Mana Angah tak sampai-sampai lagi ni?” ibu nampak sedikit runsing.

“Itulah. Ayah call semua tak berjawab”

Tiba-tiba sebuah kereta berhenti berhampiran kereta kami. Si penumpang keluar dengan tergesa-gesa dan muntah di tepi pintu.

“Apa hal ni encik? Isteri awak tak apa-apa ke?” ayah menegur.

“Dia mual tiba-tiba selepas lalu tempat berlaku kemalangan tu tadi. Mayat bertaburan atas jalanraya. Semua perempuan. Malah ada yang hancur badannya. Ish saya pun tak sanggup tengok”

Aku lihat ayah terduduk. Muka ayah pucat. Aku teringat Angah ada cakap tadi, “Kalau ayah lambat, kami pergi dulu”. Sekarang mereka benar-benar pergi.