2.12.11

[cerpen] Mandul


“Happy Annivesary Sayang” satu kucupan mesra singgah di pipi Farah.

“Abang, dah 4  tahun kita kahwin. Dan tiap-tiap tahun kita sambut anniversary berdua je. Saya sunyi la bang”

“Kita dah berusaha kan. Tapi masih belum ada rezeki. Sabarlah. Awak jangan cepat putus asa dan jangan stress sangat. Tuhan tu maha adil. Esok lusa mana tahu rezeki kita” Farid mematikan perbualan.

Farah tunduk sayu.

Setiap hari menghabiskan masa di rumah seorang diri sementara Farid keluar bekerja. Sunyi. Bukan hidupnya tidak bahagia. Malah segala mak nenek keperluan sudah Farid sediakan agar Farah tidak berasa sunyi di rumah. TV LCD 42 inci, DVD player, Astro, XboX, Internet sebutlah apa saja semua ada. Tapi apa yang Farah mahukan adalah suara tangisan anak sendiri. Kepingin sangat.   

***************

“Apehal kau ni Farid? Muka layu je datang ofis. Semalam kau cuti sambut anniversary, hari ni muka sedih macam ni apehal? Tak dapat ke semalam?” Kamal berseloroh.

Kamal merupakan rakan baik Farid di pejabat. Segala rahsianya diceritakan kepada Kamal. Dia jugalah tempat mengadu nasib susah senang sedih gembiranya. Kamal memang boleh dipercayai.

“Aku tiap-tiap hari dapatlah. Tapi tu lah. Kau pun tau kan wife aku tu. Sedih sangat sebab sampai sekarang kami masih belum ada anak. Sampai aku pun jadi stress”

“Aku cadangkan kau pergi buat medical checkup la Farid. Tengok tahap kesihatan kau tu. Minta nasihat doktor”

Cadangan Kamal seperti angin lalu pada Farid. Dia masih lagi termenung memikirkan nasibnya. Padanya Tuhan tu maha adil. Suatu hari nanti pasti ada rezekinya. Dia berserah.

“Ni ada pesanan dari bos. Semalam kau cuti bos buat meeting tergempar. Minggu depan semua orang kena keluar ke tapak projek. Kau kena tengok site kita di Kuching. Haha padan muka kau. Aku kena area KL je” Kamal menyampaikan pesan seraya berlalu meninggalkan Farid termenung keseorangan.

“Cis bos ni pun. Apehal yang jauh bagi kat aku? Damn!” Farid membebel sendiri.

*****************

“Hello abang. Asslamualaikum. Internet buat hal la bang. Dari tadi asyik connection error je. Puas dah saya cucuk cabut cucuk cabut kabel internet ni masih tak mahu juga. Saya boring la bang takde internet. Abang balik lagi dua minggu. Apa saya nak buat sorang-sorang”

“Erm ye ke. Kesiannya isteri abang ni. Esok abang suruh Kamal datang repair internet tu ye”

“Ok bang. Thanks” Farah mematikan talian.

Kesempatan bersendirian digunakan Farid untuk pergi berubat. Ramai kawan-kawan cakap ada satu doktor pakar sakit tuan yang tersohor di Kuching ni. Ubatnya bagus. Keberkesanannya terbukti. Yang lemah kini sudah kuat. Yang tunduk kini sudah tegak berdiri.

“Encik Faghid. Daghi luaghan kau sik ada masalah. Kau mampu. Tapi dalaman kau sangat lemah. Air mani kau kosong. Sperma kau langsung tidak bermaya mahu tembus ovum isteri kau. Jadi persenyawaan sik dapat berlaku. Sebab tu kau masih belum ada anak sampai sekarang. Kau mandul” doktor memberi penerangan terperinci kepada Farid.

Terlopong. Farid benar-benar lemah mendengarkan penerangan doktor tersebut. Pandangannya menjadi kelam. Segalanya dirasakan gelap segelap masa hadapannya yang sudah boleh dijangkakan. Tidak akan ada tangisan bayi di dalam rumahnya. Dia dan Farah tidak mampu untuk menimang cahaya mata sendiri. Celaru. Tak tahu apa nak difikirkan.

*****************

 “Assalamualaikum Farah. Semalam Farid suruh saya datang repair internet” Kamal memulakan ayat sebaik sahaja pintu dibuka.

Kebetulan Farah baru saja lepas mandi. Masih berkemban kain batik dengan tuala kecil menutupi sebahagian dadanya. Sebahagian lagi masih terdedah. Dengan tersipu-sipu malu Farah berlari anak ke dalam bilik.

Kini dada Kamal pula berdegup kencang. Bagai nak meletup bila melihat tubuh montok Farah di dalam kain batik separa basah itu tadi. Sudah lama dia tidak merasa nikmat sebegitu sejak dia putus dengan tunangannya 3 tahun lalu.

Ketika itu hidup Kamal agak bebas. Tinggal sebumbung bagai suami isteri. Malah jiran-jiran juga menyangka mereka adalah pasangan suami isteri. Tak perlu bimbang. Terlanjur? Banyak kali. Kini Kamal menyepi setelah ditinggalkan tunangnya selepas dia memilih untuk berkahwin dengan teman lelaki barunya.

“Ahh lantak kau lah. Aku dah rasa setiap inci tubuh kau. Aku tak rugi apa-apa” bisik hati Kamal.

“Eh abang Kamal kenapa tercegat macam tiang lampu kat luar tu? Masuklah. Panaslah kat luar” Farah sedikit terkejut setelah melihat Kamal masih lagi berdiri di muka pintu.

Fikiran Kamal masih merewang. Terbayang kejadian sebentar tadi di mana Kamal dapat melihat liuk bentuk tubuh Farah berkemban. Hatinya tidak tenteram. Kini walaupun Farah sudah berpakaian lengkap, Kamal masih belum mampu bernafas dengan betul. Hampir terlupa tujuan asalnya kemari.

“Ah ini kacau. Mintak dijauhkan. Dia isteri kawan baik aku” Kamal berdoa dalam hati.

Nafsunya membuak-buak. Iman sudah hampir tiada. Akal juga kalah. Syaitan bermaharajalela.

******************

“Hari ini genap dua minggu aku kat Kuching ni. Tak sabar nak balik jumpa isteri. Tapi aku tak sanggup nak sampaikan berita sedih ini. Apalah agaknya reaksi Farah nanti” Farid serba salah.

Nak tak nak dia perlu gagahkan juga. Ini semua demi masa depan keluarganya. Mungkin selepas ini mereka akan mengambil anak angkat sebagai penyeri rumah tangganya.

Tapi mampukah Farah menerimanya? Menerima takdir bahawa suaminya mandul? Tidak mampu memberi zuriat kepadanya? Bagaimana jika Farah minta cerai? Farid benar-benar buntu.

Kini Farid sudah tercegat di muka pintu. Farah tidak diberitahu dengan tepat tarikh kepulangannya. Mahu bikin surprise katanya. Rantai emas yang dibeli di Kuching disimpan rapi di dalam beg bimbitnya. Harapnya dengan hadiah ini Farah dapat menerima berita buruk yang dibawanya dengan hati yang tenang.

 “Assalamualaikum”

Farah yang dari tadi asyik melayan Facebook di internet melompat bangkit setelah mendengar suara suaminya member salam. Gembiranya tidak terkata. Ada berita baik yang ingin disampaikan kepada suaminya. Berlari dia membuka pintu. Tidak sabar.

“Kenapa abang balik tak bagitau. Boleh saya masak sedap-sedap. Saya ingat abang balik esok. Hari ni saya masak simple je untuk saya sorang” Farah menyambut kepulangan suaminya dengan gembira yang bukan kepalang. Apatah lagi untuk menyampaikan berita yang bakal menggembirakan hati suaminya. Dia tahu itu.

“Abang ada belikan hadiah untuk Farah” dengan wajah yang sedikit sugul Farid mengeluarkan kotak rantai emas dari dalam beg bimbitnya.

“Cantiknya bang. Saya suka sangat. Abang…saya pun ada hadiah untuk abang” Farah tersenyum lebar ketika Farid mengacukan rantai emas itu ke lehernya.

“Nah bang” Farah menghulur ‘hadiah’nya kepada Farid sambil berbisik manja ke telinga suaminya itu.

“Mungkin ini berkat malam annivesary kita hari tu”

Serta merta lutut Farid menjadi lemah. Tangannya menggeletar melihat pregnancy test kit yang menunjukkan tanda positif. Farah mengandung.

Farid terduduk sambil terlihat di skrin laptop isterinya, tertera wall page facebook si Kamal.

Syaitan!

No comments:

Post a Comment