"Acap bangunlah wei. Aku dah tak tahan nak kencing ni. Jomla temankan aku" rintih Herman.
Herman memang terkenal dengan sifat penakutnya. Acap yang tidur di tingkat atas katil double-decker itulah yang selalu menjadi mangsa menemaninya ke tandas.
"aku mengantuklah Man. Kau pergi la sendiri. Tandas tu takde hantu pun kau nak takut apa" balas Acap separuh mamai.
"alaa tolongla Cap. Aku dah tak tahan ni" Herman mengepit kemas kelangkangnya agar tidak terburai segala isi pundinya dalam dorm itu.
Dalam keterpaksaan Acap pun bangun dengan mata yang mamai-mamai separuh buka menemani Herman ke tandas di hujung blok asramanya itu.
"Woi kau ni kencing ke berak batu? Apahal yang lama sangat tu?" tempelak Acap sementelah menunggu hampir lima minit di luar tandas. Pintu kubikal yang dihuni Herman diketuk ganas berulang kali. Namun tiada jawapan. Sunyi.
"aku kira sampai lima. Kalau kau tak keluar aku balik dorm. Aku mengantuk ni" ugut Acap. Namun masih tiada jawapan.
"pandai-pandai kau la Man. Aku dah tak larat nak tunggu kau berak" bisik hati Acap sambil melangkah lemah balik ke dormnya. Matanya masih kuyu tidak mahu dibuka penuh agar tidak hilang kantuknya. Di mindanya hanya terbayang keempukan bantal dan tilam getah subsidi kerajaan itu.
Pintu dorm dikuak dan serta merta lutut Acap lemah. Bagai mahu terduduk bila melihat Herman sedang tidur nyenyak di katilnya.